PETALING JAYA – Taktik scammer kini semakin licik apabila mereka menyasarkan pengguna skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) sebelum memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian belasan ribu ringgit.
Sindiket terbabit dikesan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon atau WhatsApp sebelum menyamar sebagai pegawai syarikat e-dagang.
Mereka mendakwa mangsa kononnya terpilih menerima baucar eksklusif atau hadiah lumayan susulan pembelian bernilai tinggi yang dibuat di platform e-dagang.
Tanpa disedari, mangsa yang teruja mengklik pautan diberikan sebelum menyedari hutang skim BNPL bertambah apabila wang itu dipindahkan ke akaun scammer.
Seorang mangsa, Nurul Nazirah Wahab, 28, berkata, dia pernah mengalami kerugian sehingga RM7,000 selepas ditipu scammer pada 21 November tahun lalu.
Pegawai bank itu berkata, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pekerja syarikat e-dagang.
“Lelaki itu beritahu saya telah menang cabutan bertuah dan layak dapat baucar RM3,000. Dia juga tunjuk kad pekerjanya dan ajar saya langkah demi langkah untuk aktifkan BNPL bagi mendapatkan baucar.
“Sebelum dia (scammer) hubungi saya, memang saya ada beli barang agak mahal. Jadi saya anggap betullah nak beri baucar,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, selepas BNPL diaktifkan, lelaki terbabit mengarahkannya klik satu pautan untuk ke akaun Google dan akaun BNPL.
“Lelaki itu kemudian beri QR code untuk saya imbas. Masa imbas QR itu baru saya sedar, rupanya saya dah mohon pinjaman dan duit itu masuk kepada pihak lain.
“Pada kod QR itu ada nama syarikat, apabila saya lakukan carian, syarikat itu rupanya telah lama tutup,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh kira-kira sejam panggilan berlangsung, transaksi pemindahan wang berlaku dua kali dan jumlah keseluruhan kerugian RM7,713.88.
Katanya, dia terus membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Seri Hartamas, namun setakat ini masih belum menerima sebarang perkembangan.
“Saya ada hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, mereka kata tak boleh bantu sebab berkaitan platform e-dagang.
“Saya berurusan pula dengan platform e-dagang itu, mereka kata transaksi tak boleh dibatalkan, cuma boleh susun semula bayaran ansuran,” katanya.
Nurul Nazirah berkata, dia kini terpaksa menanggung hutang orang lain dan perlu membayar sehingga RM2,000 pada bulan pertama.
Seorang lagi mangsa, Aida Batrisyia Harun, 27, turut mengalami kerugian lebih RM11,000 apabila menjadi mangsa penipuan menggunakan modus operandi sama.
Lebih licik, sindiket terbabit memperdayakan Aida dan suami yang juga peniaga untuk mengisi maklumat akaun bank dalam pautan yang diberi.
“Scammer tu ada bagi kod QR dan pautan untuk kami masukkan maklumat bank seperti kata laluan dan nama pengguna.
“Secara tiba-tiba, kira-kira RM5,000 ditolak daripada akaun BNPL saya, manakala lebih RM6,000 pula ditolak daripada akaun bank suami saya,” ujarnya.
Peniaga makanan, Rabiatul Adawiah, 29, pula rugi RM1,800 apabila turut diperdayakan dengan tawaran hadiah di platform e-dagang yang sama.
“Pada awal tahun, saya terima panggilan telefon daripada staf e-dagang untuk hadiah sebab banyak berbelanja di aplikasi itu. Saya pun setuju selepas dia baca nama penuh dan alamat saya dengan betul.
“Saya pun terima hadiah iaitu bekas bunga, tetapi dia telefon saya lagi kata nak beri baucar pula tapi melalui pautan link. Saya pun ikut arahan dan tekan pengesahan.
“Tiba-tiba saya dapat notifikasi duit dalam BNPL saya ditolak,” katanya.
Berkongsi nasib sama, Azil Azrin Mohd. Nor, 33, turut menjadi mangsa selepas seorang individu yang menyamar wakil platform e-dagang menawarkan baucar, kononnya kerana baru membeli televisyen menggunakan skim BNPL.
Pegawai pemasaran itu berkata, scammer mengarahkannya membuka aplikasi dan menyemak notifikasi yang meminta pautan ke akaun Google, sebelum menghantar kod QR melalui WhatsApp untuk diimbas menggunakan BNPL.
“Akhirnya saya rugi hampir RM300. Saya terus buat laporan polis selepas tahu saya jadi mangsa penipuan,” ujarnya.















