fbpx
Langkawi kembali meriah dengan kemasukan ramai pengunjung tempatan dan asing kelmarin.

Langkawi meriah, Hatyai suram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pulau Langkawi kembali meriah dengan kehadiran pelancong sempena cuti persekolahan dan Tahun Baharu Cina tahun ini, namun suasana di Thailand yang sebelum ini menjadi tumpuan, kali ini suram.

Pengerusi Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi, Raseli Yahya berkata, kadar tempahan bilik-bilik hotel di Langkawi mencecah 95 peratus di kawasan tumpuan seperti Pantai Chenang dan Kuah.

“Kita juga menerima ramai pelancong dari luar negara se­perti Eropah, India dan China yang menyumbang kepada peratus tempahan yang tinggi,” kata­nya semalam.

Menurutnya, kemasukan pelancong asing yang semakin bertambah turut membantu meningkatkan jumlah pengunjung di pulau legenda itu.

Katanya, ramai pelancong a­sing turut menggunakan feri Roll On Roll Off (Roro) untuk masuk ke pulau apabila jadual perjalanan feri terpaksa diatur semula berdasarkan pasang surut laut.

“Isu perjalanan feri tidak akan menimbulkan masalah jika pelancong membuat tempahan awal dan bukannya menunggu sehingga saat akhir bagi pembe­lian tiket di kaunter.

“Setakat pengetahuan saya, semua pelancong yang telah membeli tiket feri secara online tidak mempunyai masalah perjalanan,” katanya.

Sementara itu, kehadiran pelancong Malaysia ke selatan Thailand sempena cuti Tahun Baharu Cina pula hambar apabila kadar tempahan hotel hanya mencecah 35 peratus berbanding 100 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Suasana di bandar Hatyai, Thailand kelihatan suram malam kelmarin ekoran kekurangan pelancong asing.

Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, pada awalnya pihak­nya menjangkakan sekurang-kurangnya 50 peratus tempahan dapat dicapai berikutan Malaysia menikmati cuti dua hari sempena Tahun Baharu Cina.

“Kita jangka Thailand khususnya Hatyai akan diserbu pelancong Malaysia, tetapi tahun ini memang jatuh.

“Tahun lepas hotel dalam bandar Hatyai boleh capai 100 peratus tempahan. Tahun ini hanya sekitar 35 peratus,” kata­nya.

Katanya, daripada 35 peratus kadar penginapan itu, kira-kira 75 peratus terdiri daripada pelancong Malaysia, manakala selebihnya pelawat dari Singapura dan Indonesia.

“Memang melibatkan tiga negara ini sahaja dan majoriti mereka orang Malaysia tetapi 35 peratus itu tak sampai separuh pun daripada kapasiti sebenar hotel,” ujarnya.

Mengulas faktor kemerosotan itu, Aida berkata, antaranya cuti perayaan kali ini tidak bersambung dengan hujung minggu, sekali gus mengehadkan tempoh percutian rakyat Malaysia.

Selain itu, katanya, masih terdapat persepsi dalam kalangan pelancong bahawa Hatyai belum bersedia sepenuhnya selepas terjejas akibat banjir tahun lalu.

“Hakikatnya, kita sudah bersedia hampir 95 peratus untuk menerima pelancong. Hotel, pe­ngangkutan, restoran dan tempat-tempat menarik semuanya sudah kembali beroperasi.

“Cuma mungkin kita baru nak ‘viralkan’ dalam satu dua minggu ini bahawa Hatyai sudah kembali bersedia,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa jalan yang masih dalam proses pembaikan, namun hanya melibatkan kira-kira lima peratus sahaja dan tidak menjejaskan keseluruhan pengalaman pelancong.

“Ada sedikit jalan yang tidak stabil dan sedang dibaiki, namun secara keseluruhan tidak nampak kesan besar seperti bekas banjir yang teruk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelancong Malaysia tidak lagi ragu-ragu untuk berkunjung ke Hatyai kerana majoriti fasiliti pelancongan kini kembali pulih sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN