fbpx
Syed Dhamir menunjukkan sijil MBOR menghafal 200 nombor Pi dalam masa dua minit yang dianugerahkan kepadanya.

Dhamir budak otak nombor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun memiliki daya ingatan luar biasa apabila mampu menghafal 200 digit nombor Pi dalam tempoh hanya dua minit selain dapat menyelesaikan masalah matematik aras tinggi dan berbakat dalam bidang numerasi.

Kebolehan itu membolehkan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2, Syed Dhamir Ahmad Alhabshi Syed Mohd. Farid Alhabshi mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 9 Feb­ruari lalu.

Nombor Pi ialah angka matematik tidak pernah berakhir dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk matematik dan sains, kejuruteraan dan pembinaan, astronomi dan teknologi serta pengiraan berkaitan bulatan serta alam semesta.

Ibunya, Harwina Ismail, 49, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu mencipta rekod baharu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana rak­yat Malaysia.

Katanya, dia tidak boleh tidur malam sebelum ujian itu kerana terlalu risau kerana percubaan rekod akan gagal sekiranya tersalah satu susunan
nombor.

“Berbeza dengan Syed Dhamir apabila dia sangat tenang, sekaligus menenangkan saya dan yakin dengan kemampuannya. Pada hari ujian, dia berjaya melakukannya dan sekarang dia sudah hafal 300 nombor Pi.

“Saya harap dia boleh pe­cahkan rekodnya sendiri de­ngan menghafal 500 nombor Pi. Rakan dan cikgu sekolah memberikan galakan dan sokongan memberangsangkan kepadanya,”
katanya kepada Kosmo! semalam.

Syed Dhamir mendapat keputusan cemerlang dan mendapat tempat pertama dalam kelas KAFA.

Mengimbau semula kebolehan anaknya itu, Harwina berkata, dia dan suami menyedari keistimewaan yang ada pada Syed Dhamir ketika kanak-kanak itu berusia dua tahun.

“Ketika itu dia sudah ingat semua nama dinosaur dan apabila masuk tiga tahun, dia hafal semua bendera di dunia. Masuk tadika dia sudah boleh membaca dalam bahasa Melayu dan Ing­geris de­ngan lancar hingga mengejutkan cikgu sedangkan saya tidak me­ngajarnya,” katanya.

Ujar Harwina, masuk lima tahun, dia hantar anaknya ke kelas bacaan Iqra dan tamat dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Sekarang dia sudah khatam al-Quran dan sedang menghafaz surah-surah dalam juzuk 30. Dia juga minat sains dan matematik,” katanya.

Menurut Harwina, melihatkan keadaan anaknya, dia menemui pakar psikologi klinikal kanak-kanak untuk melakukan ujian IQ WISC-V bertaraf antarabangsa Disember lalu.

Tambahnya, sebulan kemudian keputusan ujian itu mengesahkan anaknya berke­upayaan tinggi dan berbakat dalam bidang numerasi (high average dan gifted in numerical
numbering).

“Dia memperoleh tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan mendapat purata markah 98 peratus dalam pentaksiran bertulis akhir tahun satu untuk kesemua subjek,” katanya.

Harwina mendakwa, Syed Dhamir turut berkemampuan menyelesaikan soalan-soalan matematik aras tinggi dan telah menghafal sifir sehingga ratusan digit sejak berusia enam tahun.

“Namun, dia normal macam kanak-kanak lain, suka bermain, berkawan, cakap secara terus terang. Nak kata fokus di kelas, tak juga, sangat suka bercakap, extrovert, berani dan bukan jenis budak nerda.

“Daya ingatan dia sangat kuat. Sekali cakap sahaja, masuk dalam kepala terus tangkap,” katanya.

Harwina berkata, dia dan suami berusaha menyeimbangkan aktiviti lain untuk Syed Dhamir termasuk bermain tablet terhad setengah jam sahaja, bola sepak, catur serta membelikan komik genre pendidikan.

Katanya lagi, Syed Dhamir kini masih lagi di dalam proses menghafaz al-Quran dan berharap anaknya bergelar huffaz seperti yang dilakukan oleh abangnya sebelum ini.

“Kami juga masih dalam pro­ses mencari pendekatan terbaik untuk memaksimumkan potensi Syed Dhamir supaya dia dapat berkembang secara seimbang dari segi akademik, emosi dan minatnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN