PEI LIN anak kelahiran Terengganu meminati bidang sains sejak kecil.

Prof. Pei Lin, dekan Cina sebati hidup dengan jawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILAHIR dan dibesarkan dalam generasi kelima Cina Peranakan Terengganu membuatkan wanita ini sudah terbiasa menjalani hidup seperti orang Melayu.

Dari segi percakapan, dialek, bahasa, budaya, pakaian dan makanan, itu semua tidak membuatkan dirinya canggung apatah lagi dia turut mahir membaca serta menulis tulisan jawi sejak kecil.

Bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan masyarakat Tionghoa esok, K-Kampus membawakan anda Dekan Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga

Mantan Setiausaha Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Prof. Dr. Lua Pei Lin.

Berkesempatan menemu bual wanita hebat berusia 51 tahun ini menerusi panggilan telefon tempoh hari, banyak perkongsian diberikan seputar kerjaya, budaya dan juga persiapannya bagi perayaan yang bakal tiba.

“Keturunan saya berasal dari daerah Fujian, China dan mula bertapak di Tanah Melayu (Terengganu) pada abad ke-14 hingga ke-17.

“Ramai menginap di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang, Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan tempat asal saya di Kampung Batu Enam.

“Sejak itu, kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, antara contohnya pemakanan di mana keturunan kami juga makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan,” katanya ceria membuka bicara.

Menurut Pei Lin, dia juga boleh membaca dan menulis tulisan jawi kerana sudah didedahkan serta diajar tulisan tersebut sejak berada di sekolah rendah lagi.

Jelas Pei Lin, ketika itu murid darjah 1 hingga darjah 3 di Sekolah Rendah (SK) wajib mengambil mata pelajaran Jawi sebagai salah satu subjek keperluan kurikukulum.

“Walaupun kami (murid etnik Cina dan India) bukan orang Melayu dan bukan beragama Islam, tetapi kami tahu dan pernah belajar jawi.

“Sampai ke hari ini, saya masih boleh membaca dan menulis tulisan jawi dengan baik.

“Cuma kadangkala bila lama tidak dipraktikkan, pernahlah juga sesekali salah dan terlupa,” katanya tertawa kecil kepada K-Kampus.

DITANYA mengenai pendidikan awal hingga ke peringkat universiti dan bergelar dekan fakulti, anak pertama daripada tiga beradik ini memberitahu dia mendapat pendidikan awal di Kuala Terengganu hinggalah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejujurnya sejak sekolah rendah, saya memang minat bidang sains.

“Bila melangkah ke sekolah menengah, saya jadi minat dan suka pula dengan subjek Kimia dan Biologi. Sejak itu saya mula mengimpikan kerjaya dalam bidang farmasi.

“Minat ini seterusnya mula bercambah dan mendapat suntikan semangat apabila saya memperoleh keputusan cemerlang dan dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Terengganu untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan SPM dalam aliran Sains.

”Bagi pencapaian SRP tersebut, saya berjaya menggondol Anugerah Bestari Muda Public Bank 1991 yang disampaikan oleh Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang ketika itu merupakan Menteri Pendidikan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, kejayaan susulan dalam peperiksaan SPM pada tahun 1992 kemudiannya menjadi asas dan titik tolak kepada penawaran biasiswa luar negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dirinya melanjutkan pengajian A-Level di Maktab Sains Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Lumpur, Cheras bermula 1993 hingga 1995.

Fasa tersebut ujarnya merupakan tempoh persediaan bagi mengikuti pengajian Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) di Welsh School of Pharmacy, Cardiff University, Wales, United Kingdom (UK) antara tahun 1995 hingga 1998.

Meneruskan cerita, usai bergraduasi dengan cemerlang sebagai graduan kelas pertama pada Julai 1998, dia kembali ke tanah air dan bertugas sebagai pegawai farmasi pelatih (houseman pharmacist) di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selama setahun.

Beritahu Pei Lin yang masih berstatus bujang, tidak menunggu lama selepas tamat housemanship, dia terus mendapat tawaran ‘fast track’ meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di institusi sama, Cardiff University antara tahun 1999-2003.

Pei LIN bersama sebahagian kakitangannya di Fakulti Farmasi UnisZA, Terengganu.

Paling membanggakan, pengajian PhD itu ditanggung sepenuhnya pihak kerajaan UK menerusi biasiswa Overseas Research Students (ORS) Award 1999 dan Cardiff University.

Ia merupakan satu pengiktirafan pihak antarabangsa terhadap pencapaian cemerlang dirinya sewaktu pengajian peringkat sarjana muda sebelum itu.

Mengenai perjalanan kariernya sebagai pensyarah dan penyelidik dalam bidang farmasi, Pei Lin memberitahu, profesionnya sebagai akademia bermula apabila dia mula berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mei 2003.

“Saya ditempatkan di Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial UMS.

“Ini kerana kajian PhD saya berkisar kepada unsur kualiti kehidupan dalam kalangan pesakit kanser paliatif, justeru amat bersangkut-paut dengan elemen kesihatan sosial.

“Kemudian, saya menyertai Fakulti Perubatan UMS sebelum berpindah pulang ke Semenanjung dan berkhidmat di Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada tahun 2005,” tuturnya.

Jelasnya, ketika di UiTM dia pernah diamanahkan sebagai Ketua Program Sarjana Muda Farmasi dan Pemangku Pengarah Pusat Kajian Polisi Dadah & Ekonomi Kesihatan.

Bagai sirih pulang ke gagang, peribahasa ini paling sesuai diberikan kepada Pei Lin tatkala mengambil keputusan untuk pulang ke negeri kelahirannya, Terengganu dan berbakti di sana setelah dua tahun bertugas di UiTM.

Menurutnya, usai penubuhan Universiti Darul Iman (UDM) yang kini dikenali sebagai UniSZA pada 2006, dia mula berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan mulai November 2007.

“Saya menjadi antara kelompok pensyarah terawal selepas UDM ditubuhkan secara rasmi pada Januari 2006.

“Selepas itu, saya berkhidmat pula di Fakulti Sains Kesihatan bermula 2014 selama dua tahun hingga akhirnya di ditempatkan di Fakulti Farmasi yang berjaya ditubuhkan pada September 2016,” katanya.

Akui peminat sukan badminton dan turut merupakan bekas atlet badminton remaja negeri Terengganu ketika di sekolah menengah itu, perpindahannya ke Fakulti Farmasi merupakan titik tolak kepada pengalaman paling bermakna dalam sejarah kariernya di UniSZA.

Hal itu kerana, dia akhirnya berjaya merealisasikan cita-cita untuk membangunkan sebuah program farmasi yang mampu membantu meningkatkan tenaga ahli farmasi profesional sekali gus memacu pengukuhan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Sebelum itu, tugas saya lebih banyak tertumpu kepada pengajaran dan penyelidikan untuk pengajian perubatan dan sains kesihatan.

“Untuk itu, saya pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pusat Kajian Klinikal Dan Kualiti Hidup, Ketua Kluster Kesihatan Komuniti serta Pengarah Pusat Korporat, Industri dan Antarabangsa hinggalah diamanahkan sebagai Dekan Fakulti Farmasi,” katanya.

Mengenai jawatan sebagai dekan, amanah tersebut diberikan bermula Mei 2020 ketika negara mula dibadai pandemik maut Covid-19.

Meskipun ketika itu dihambat cabaran terbesar mengenai virus menakutkan itu, Pei Lin terus sedaya upaya menempatkan UniSZA sebagai salah satu pilihan utama pusat pengajian bidang farmasi di Malaysia.

“Syukurlah, graduan kami telah pun berjaya menembusi pasaran pekerjaan dengan cemerlang sekali sejak kohort pertama dilahirkan pada November 2023.

“Para pelajar kami turut menerima pelbagai biasiswa daripada pihak kerajaan mahupun industri farmasi yang menawarkan peluang pekerjaan serta latihan wajib untuk pendaftaran sebagai ahli farmasi.

“Keberhasilan ini turut diiringi usaha konsisten mencorakkan imej baharu dan menyuntik pelbagai inovasi serta penambahbaikan ke dalam operasi fakulti dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambahnya, fakulti juga giat menggabungkan aktiviti menyantuni komuniti sekitar menerusi Program Amalan Cakna Ubat (Pacu), sambil membina jaringan industri sekali gus memperkukuh kolaborasi antarabangsa termasuk mengundang profesor pelawat dari United Kingdom, Australia dan Thailand.

Tutup rapat soal kerjaya dan farmasi, diaju mengenai sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambutnya esok, Pei Lin memberitahu seperti biasa dia akan berkumpul bersama ibu, adik-beradik dan keluarga terdekat di Kampung Batu Enam, Kuala Nerus.

Cuma sedikit perbezaan pada tahun ini sambutan mereka bakal dirai sederhana kerana mendiang bapanya baru sahaja meninggal dunia tahun lalu akibat penyakit radang paru-paru.

“Setiap tahun, nilai dan prinsip yang masih dipegang dan diamalkan adalah berkumpul beramai-ramai bersama keluarga terdekat untuk makan besar.

“Tidak kira sama ada kami makan di restoran atau masak sendiri di rumah, yang penting mesti makan bersama, bersembang, bertanya khabar dan merapatkan nilai kekeluargaan meskipun bapa sudah tiada.

“Kami juga akan menyempurnakan upacara sembahyang dewa di kuil dan sembahyang nenek moyang sama ada di rumah atau di biara,” katanya.

Bagi sambutan tahun baharu kali ini, Pei Lin yang gemar dan wajib menikmati hidangan kuih bakul setiap kali hari raya berpeluang berehat serta bercuti selama seminggu sebelum kembali bertugas di pejabat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN