EKOSISTEM automotif tempatan kini terus berkembang dengan hadirnya motosikal nasional kedua iaitu AFAZ Kencana Sport 115.
Motosikal tersebut tercipta hasil inisiatif jangka panjang negara yang bermula dengan pelaksanaan AM-2 (Automotive Manufacturing 2) pada tahun 2022.
Ia merupakan satu kerangka dasar strategik yang bertujuan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh.
Seiring dengan hala tuju AM-2, KMSB Motors Sdn. Bhd. telah melangkah lebih jauh pada tahun 2023 melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation, Jepun.
Perjanjian ini merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.
Hasil daripada perjanjian strategik ini, projek AFAZ telah dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional.
Ia bukan sekadar sebuah produk, tetapi sebagai platform pembangunan industri dua roda.
Sebagai makluman, motosikal nasional pertama ialah Modenas pada tahun 1995.
Projek AFAZ direalisasikan melalui kolaborasi kejuruteraan antara tenaga tempatan, vendor industri tempatan serta rakan teknikal antarabangsa.
Ia dibangunkan dengan matlamat jelas untuk membangunkan Motosikal Nasional Kedua Malaysia dan memperkukuh ekosistem industri motosikal negara dan AFAZ Kencana Sport 115 menjadi model pertama yang dilancarkan Januari lalu.
AFAZ Kencana Sport 115 merupakan sebuah motosikal yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan sebenar pengguna di Malaysia dengan dikuasakan enjin bersesaran 113cc.
Motosikal ini juga didatangkan dengan enjin satu silinder, SOHC, 4-lejang bersama sistem penyejukan Suzuki Oil Cooling System (SOCS) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 9.1hp pada 7,500rpm dan tork maksimum 9.0Nm pada 6,500rpm.

Kuasa motosikal ini disalurkan ke tayar belakang melalui transmisi manual empat kelajuan dengan sistem pacuan akhir menggunakan rantai.
Dalam masa yang sama, ia dikuasakan oleh enjin moden pematuhan Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, selaras dengan keperluan piawaian semasa dan masa hadapan.
AFAZ Kencana Sport 115 disokong oleh teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan serta prestasinya.
Berat keseluruhan motosikal ini adalah 100 kilogram dengan ketinggian tempat duduk sekitar 760mm.
Dengan berat dan ketinggian tersebut menjadikan motosikal ini sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah jentera yang mudah untuk dikendalikan.
Sementara itu, motosikal ini didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci untuk bahagian hadapan dan belakang.
Sistem brek untuk motosikal ini menggunakan brek cakera pada bahagian hadapan.
Dari segi reka bentuk, motosikal ini hadir dengan rekaan yang moden menerusi lampu utama pada bahagian hadapan dan belakang yang menggunakan LED.
Reka bentuknya tidak terlalu agresif, sebaliknya mengekalkan elemen praktikal untuk kegunaan seharian di kawasan bandar atau luar bandar.
Paparan meter untuk motosikal ini menggunakan jenis analog.
Motosikal ini hadir dengan sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, memberikan keselesaan yang memadai untuk jalan bandar dan kampung.
Selain itu, motosikal ini hadir dengan saiz tangki berkapasiti 4.2 liter dan turut dilengkapi dengan ruang simpanan di bawah pelana.
Prestasi motosikal ini mencukupi untuk tunggangan harian, terutama dalam trafik bandar yang memerlukan pecutan sederhana dan tunggangan lancar.
Secara keseluruhan AFAZ Kencana Sport 115 adalah sebuah motosikal yang praktikal, selamat, jimat bahan api dan mampu milik.
Dengan kos pemilikan yang rendah, penyelenggaraan yang mudah serta ketahanan jangka panjang, AFAZ Kencana Sport 115 berperanan sebagai penyelesaian mobiliti harian yang mampu mengurangkan beban kos rakyat, terutama golongan yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama untuk bekerja dan urusan seharian.
Motosikal ini hadir dengan dua pilihan warna iaitu biru dan merah yang ditawarkan pada harga RM5,799.














