KUALA TERENGGANU – Keberanian pasangan suami isteri membuat tauhu begedil berinti udang kara membuahkan hasil apabila gerai mereka dikerumuni ramai pelanggan di Pantai Kubang Badak, Tok Jembal, di sini.
Tauhu begedil berinti udang kara tersebut mula dijual Wan Ahmad Faizal Ahmad Azahar, 34, dan isterinya, Nur Shella Abdullah, 32, sejak bulan lalu.
“Kami yang berniaga menjual tauhu begedil sejak tahun 2018 menjual makanan tersebut berintikan lobster (udang kara) sebagai kelainan buat gerai pada tahun 2026 ini.
“Ia berikutan trend minat pelanggan yang suka mencuba makanan baharu jarang ditemui dan luar biasa,” katanya ketika ditemui di gerainya di di Pantai Kubang Badak, Tok Jembal, di sini semalam.
Ahmad Faizal berkata, sambutan diterima terhadap tauhu begedil udang kara terbabit sangat luar biasa sehingga ramai yang membuat tempahan awal.
“Harganya antara RM40 hingga RM60 sebiji ikut saiz. Ada juga harga pakej sebiji tauhu begedil lobster tambah tiga biji inti ayam, daging atau udang pada harga semurah RM50,” ujarnya.














