fbpx
PENAHANAN individu yang mempunyai latar belakang agama oleh SPRM melibatkan kes rasuah mengejutkan banyak pihak.

Bahaya guna agama kayakan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Luahan hati seorang pelakon popular, Daiyan Trisha yang menyatakan dia akan membuat pertimbangan teliti sebelum menyalurkan sebarang sumbangan kepada mana-mana individu atau badan kebajikan kerana bimbang menjadi mangsa ‘penunggang agama’ mungkin perlu menjadi renungan secara serius semua pihak.

Bagi artis tersebut, tujuannya mudah, langkah itu adalah bagi memastikan setiap wang derma disalurkan kepada platform yang betul, supaya dana itu benar-benar sampai kepada pihak yang sepatutnya tanpa berlaku sebarang penyelewengan atau disalah guna untuk tujuan lain.

Kebimbangan Daiyan Trisha sebenarnya amat berasas kerana ketika ini kelihatannya seperti terdapat banyak pihak yang berwajah alim tetapi pada masa yang sama ‘tangannya’ ligat mengaut keuntungan dengan cara yang salah dengan berselindung di sebalik jubah agama.

Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua individu termasuk seorang yang didakwa sebagai pendakwah bebas bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM1.3 juta.

Penahanan ini agak mengejutkan tetapi itulah hakikatnya. Kini ia menimbulkan pelbagai persoalan kepada orang ramai, kerana jika mereka yang dekat dengan institusi agama pun tidak boleh dipercayai, maka kepada siapa lagi kepercayaan itu harus diberikan.

Isu penyalahgunaan agama untuk kepentingan diri ini sebenarnya telah berakar sejak sekian lama. Golongan pemuka-pemuka agama pada zaman dahulu misalnya, hidup mewah hasil sumbangan orang ramai yang percaya bahawa derma kepada rumah ibadat akan mendapat keberkatan.

Pada masa itu, ramai dalam kalangan mereka menyalahgunakan institusi rumah ibadat untuk mengumpul kekayaan dengan memanipulasikan agama untuk kepentingan diri atau sekelompok tertentu.

Namun, kelihatannya amalan salah itu berterusan sehingga ke hari ini dan lebih menyedihkan, semua ini dilakukan oleh mereka yang kelihatannya dekat dengan agama.

Golongan ini biasanya tampil dengan imej meyakinkan, petah berbicara soal dosa dan pahala, lantang menegur kesalahan orang lain. Atas nama dakwah, sumbangan dan perjuangan ummah, wang dikutip tanpa banyak soal.

Dan kini, ketika Ramadan hampir tiba, akan muncul individu-individu ‘berjubah’ dengan imej alim untuk meminta derma kononnya untuk jalan agama seperti pembinaan pusat tahfiz atau bantuan kemanusiaan.

Orang ramai pula memberi kerana yakin setiap ringgit yang didermakan akan digunakan untuk tujuan kebaikan tanpa mereka sedari ada ‘tangan-tangan jahat’ yang akan menyeleweng dana mereka untuk kepentingan peribadi.

Perbuatan jahat golongan ini sebenarnya bukan sahaja menipu orang ramai, malah lebih daripada itu ia turut mencemarkan imej dan kesucian agama itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu lebih tegas untuk menangani permasalahan ini supaya agama tidak lagi dijadikan lesen untuk merompak sumbangan orang ramai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Masyarakat pula perlu lebih teliti sebelum menyalurkan sebarang sumbangan supaya tidak terus menjadi mangsa pembohongan ‘penunggang agama’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN