DALAM landskap perubatan moden yang semakin kompleks, aspek rawatan tidak lagi tertumpu kepada fizikal semata-mata, sebaliknya merangkumi kesejahteraan emosi dan kerohanian pesakit.
Menyedari kepentingan tersebut, peranan asatizah hospital kini semakin mendapat perhatian sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan holistik negara.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Fahmi Ismail dengan Ahli Majlis Penasihat Syariah Hospital Pakar An-Nur, Prof. Madya Dr. Hamidah Mat bagi mengupas secara mendalam peranan, cabaran dan masa depan profesyen asatizah hospital
di Malaysia.
KOSMO! AHAD: Apakah yang dimaksudkan dengan konsep asatizah hospital dan bagaimana peranannya dalam sistem kesihatan negara?
HAMIDAH: Asatizah hospital merujuk kepada ustaz dan ustazah yang berkhidmat di hospital, sama ada di hospital kerajaan yang dikenali sebagai hospital mesra ibadah, hospital pengajar universiti dan juga hospital swasta dikenali sebagai hospital patuh syariah, hospital Islam atau hospital yang tidak menggunakan jenama Islam tetapi mempunyai perkhidmatan asatizah.
Sebahagian hospital pengajar universiti dan hospital swasta yang mempunyai visi membangunkan Islam serta peranan agama dalam sistem kesihatan telah bekerjasama di bawah naungan Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM).
Antara hospital yang menjadi ahli termasuk Hospital Pakar An-Nur, Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) dan Hospital Pakar Al-Islam.
Peranan asatizah merangkumi pelbagai aspek bergantung kepada struktur organisasi, namun secara umumnya bertujuan menyantuni pesakit dan waris khususnya dalam bimbingan agama seperti fiqh perubatan, bioetika Islam, fiqh ibadah dan sokongan spiritual.
Bagi hospital yang memperoleh pensijilan Standard Pengurusan Kualiti Patuh Syariah MS1900:2014, seperti Hospital Pakar An-Nur, asatizah hospital turut bertanggungjawab mengurus pembangunan dokumentasi syariah, audit, latihan serta berperanan sebagai sekretariat Majlis Penasihat Syariah.

Mengapa kehadiran asatizah hospital semakin relevan dalam landskap perubatan hari ini?
Dunia hari ini tidak lagi melihat kesihatan sekadar bebas daripada penyakit, tetapi menekankan kesejahteraan holistik merangkumi biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
Keempat-empat elemen ini saling berkait. Kajian juga menunjukkan sensitiviti agama memberi kesan besar terhadap perancangan serta keputusan rawatan.
Agama dan spiritualiti menjadi sumber harapan, ketenangan dan kekuatan jiwa pesakit serta waris dalam menghadapi ujian kesakitan.
Asatizah berperanan menyantuni aspek spiritual dan perlu bekerjasama rapat dengan pasukan kesihatan dalam sistem multi disiplin agar penjagaan rohani tidak terpisah daripada keseluruhan proses rawatan.
Boleh huraikan maksud pendekatan fizikal, emosi dan rohani ini?
Pendekatan ini merujuk kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan secara holistik yang mengintegrasikan rawatan klinikal, sokongan psikososial dan bimbingan kerohanian.
Ia memastikan rawatan diberikan secara beretika, berempati dan berfokus kepada kesejahteraan insan selaras dengan prinsip maqasid syariah serta nilai ihsan. Sekiranya tubuh dirawat tetapi jiwa, emosi dan hubungan sosial tidak disantuni, kesembuhan sebenar belum lagi menyeluruh.
Bagaimana elemen kerohanian membantu proses penyembuhan?
Elemen kerohanian berfungsi sebagai sokongan terapeutik yang meningkatkan ketahanan emosi pesakit, membantu penerimaan terhadap penyakit dan pengurusan stres.
Amalan spiritual yang dibimbing secara berstruktur terbukti menyokong kesejahteraan mental, seterusnya membantu keberkesanan rawatan.
Mengapa aspek ‘menyantuni jiwa’ begitu penting di hospital?
Sakit fizikal memberi kesan besar kepada kehidupan harian, fungsi sosial, kewangan serta hubungan dengan Tuhan.
Jika tekanan emosi tidak disantuni, ia boleh mencetuskan konflik dalaman berkaitan takdir dan keimanan.
Santunan jiwa bermaksud pesakit didengari, diberi ruang memproses emosi, dibimbing dalam persoalan fiqh dan ketuhanan serta dikembalikan rasa maruah dan autonomi sebagai manusia.
Apakah situasi kritikal yang memerlukan sokongan rohani secara langsung?
Antara situasi paling kritikal ialah apabila pesakit dan keluarga perlu membuat keputusan besar seperti pelan penjagaan awal termasuk tidak memasukkan tiub pernafasan (DNI), Larangan Resusitasi (DNR), keputusan menidurkan pesakit, memilih rawatan kemoterapi atau pembuangan anggota.
Ia bukan sekadar tandatangan, tetapi tanggungjawab besar terhadap kesan emosi dan kehidupan selepas keputusan dibuat.
Bagaimana peranan asatizah dalam kes akhir hayat?
Akhir hayat merupakan saat paling penting bagi menentukan husnul khatimah.
Asatizah hospital terlatih akan membimbing pesakit melalui terapi taubat, kemaafan dan persediaan menghadapi transisi ke alam akhirat, selain membantu waris menerima kehilangan dengan jiwa lebih bersedia.
Bagaimana bimbingan agama membantu keluarga membuat keputusan sukar?
Kebimbangan utama keluarga ialah aspek hukum sejauh mana Islam membenarkan sesuatu rawatan dan bagaimana konsep tawakal serta reda dapat difahami.
Bimbingan ini membantu membentuk jiwa sejahtera, bukan menafikan kesedihan, tetapi mengurusnya dengan betul.
Bagaimana kerjasama antara asatizah hospital dan pasukan perubatan?
Secara ideal, asatizah perlu berperanan sebagai rakan strategik dalam pasukan rawatan.
Di Barat, ia dirujuk dalam isu etika dan spiritual. Sinergi ini membantu pesakit, keluarga dan pasukan perubatan berfungsi dengan lebih tersusun tanpa mengabaikan aspek agama dan sosial.
Adakah pendekatan ini membantu mengurangkan tekanan petugas kesihatan?
Pesakit yang sejahtera jiwanya lebih mudah bekerjasama dan rasional dalam membuat keputusan.
Khidmat asatizah juga menyantuni petugas kesihatan kerana semua manusia memerlukan sokongan jiwa, termasuk asatizah itu sendiri.

Apakah cabaran terbesar ketika ini?
Cabaran utama ialah kekurangan latihan kompetensi berakreditasi serta bilangan asatizah yang masih terhad.
Latihan perlu merangkumi teori dan praktikal agar potensi peranan ini dapat dimaksimumkan tanpa membebankan petugas.
Apakah kompetensi utama seorang asatizah hospital?
Penguasaan fiqh perubatan, kemahiran komunikasi, asas psikologi dan ilmu kejiwaan amat penting.
Seperti doktor dan jururawat, asatizah hospital juga perlu diperakui kompeten dan selamat sebelum berkhidmat.
Adakah Malaysia memerlukan modul latihan nasional?
Malaysia sememangnya memerlukan modul khusus dan satu standard nasional bagi bidang ini. Ia penting bagi menyeragamkan kualiti perkhidmatan serta mengiktiraf asatizah hospital sebagai profesion penting dalam sistem kesihatan negara.
Apakah harapan Dr. terhadap masa depan perkhidmatan ini?
Saya berharap perkhidmatan asatizah hospital mendapat pengiktirafan rasmi kementerian berkaitan agar kedudukannya lebih holistik dan tidak dipandang remeh. Ini seterusnya memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan berteraskan ihsan dan kemanusiaan.














