PUTRAJAYA – Seramai 1,454 kanak-kanak termasuk anak orang kurang upaya (OKU) terpaksa membesar tanpa kasih sayang insan bergelar ibu bapa apabila dilaporkan diabaikan keluarga sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pendedahan itu dibuat JKM berdasarkan statistik diperoleh antara tahun 2020 hingga September 2025, yang mana pada 2024 merekodkan jumlah pembuangan tertinggi iaitu sebanyak 454 kanak-kanak.
Menurut Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, secara umum, pihaknya mendapat maklumat awam selain rujukan pihak berkuasa dan kesihatan di mana bayi ditemui dalam keadaan terdedah serta memerlukan perlindungan segera.
Katanya, bagi kes melibatkan kanak-kanak terabai atau didera pula, ia dikesan melalui pelbagai saluran termasuk laporan orang awam, pihak hospital, sekolah, polis, komuniti setempat dan agensi berkaitan.
“Dalam konteks ini, sejumlah 10,665 kanak-kanak pula dilaporkan didera secara fizikal dalam tempoh sama, manakala sejumlah 12,893 pula direkodkan mengalami masalah penderaan seksual.
“Bagi penderaan emosi pula, seramai 834 kanak-kanak turut menjadi mangsa antara tempoh 2020 hingga September 2025,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai faktor menyebabkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak itu, beliau berkata, masalah kekeluargaan dan tekanan sosioekonomi antara dikenal pasti.
“Selain itu, kurang sokongan sosial selain isu kesihatan mental penjaga, kegagalan ibu bapa menjalankan tanggungjawab serta situasi krisis hingga menyebabkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terjejas,” katanya.
Katanya, JKM juga akan menjalankan penilaian awal kebajikan dan keselamatan selepas kanak-kanak diselamatkan bagi memastikan keperluan dipenuhi, termasuk rawatan kesihatan, perlindungan dan sokongan emosi.
“Seterusnya, kanak-kanak akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara sehingga laporan siasatan dapat disiapkan dan akan ditempatkan di lokasi penjagaan yang bersesuaian.
“Tempoh penjagaan oleh JKM adalah berdasarkan keputusan siasatan, perintah mahkamah dan penilaian kebajikan secara berterusan.
“Tempoh itu boleh bersifat sementara atau jangka panjang sehingga kanak-kanak berada dalam persekitaran yang selamat, stabil dan sesuai untuk perkembangan mereka.
“Jika kanak-kanak ditempatkan di institusi perlindungan, perintahnya ialah sehingga tiga tahun atau sehingga kanak-kanak berusia 18 tahun atau mana-mana yang lebih pendek,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kanak-kanak juga mempunyai peluang untuk ditempatkan sebagai anak pelihara kepada ibu bapa pelihara yang telah melalui proses saringan.
Selain itu, katanya, dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang diselamatkan merupakan mereka yang didera secara fizikal.
“Kes begini biasanya menunjukkan keperluan mendesak daripada segi perlindungan, sokongan psikososial dan pemulihan emosi (kaunseling).
“Selain itu, JKM juga akan merancang intervensi bersepadu untuk memulihkan penghargaan kendiri dan keyakinan diri kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE















