fbpx
Kanak-kanak berumur enam tahun diberi pilihan menduduki darjah 1 tahun depan. -Gambar Janaan AI

Enam tahun budak baru nak pegang pensel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SISTEM pendidikan terkini yang membenarkan kanak-kanak seawal usia 6 tahun untuk memasuki Tahun 1 bermula 2027 ternyata membuat ramai ibu bapa tidak senang duduk.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, ramai yang meluahkan rasa tertekan kerana bagi sesetengah ibu bapa, anak mereka baru mula belajar memegang pensel dengan kemas, tetapi sudah digalakkan ke sekolah.

Agak mengejutkan bila ada juga ibu bapa mengakui mereka menghantar anak ke sekolah ataupun ‘play school’ seawal usia 4 tahun bukan kerana anak benar-benar bersedia, tetapi kerana takut anak nampak ketinggalan berbanding rakan sebaya.

Corak yang sama kini dilihat berulang dengan pelaksanaan Tahun 1 untuk kanak-kanak enam tahun apabila ada ibu bapa yang mungkin terburu-buru mendaftar anak, walaupun anak belum cukup matang dari segi emosi dan sosial, semata-mata untuk memastikan mereka setara dengan rakan sebaya.

Situasi ini akan menimbulkan persoalan penting mengenai sejauh mana ibu bapa mampu untuk membaca kesiapsiagaan anak secara individu, tanpa terpengaruh dengan tekanan sosial atau perbandingan dengan kanak-kanak lain.

Menurut perkongsian Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan, Dr. Lau Chiew Yee, setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar yang berbeza, dan perbezaan ini adalah normal dalam proses tumbesaran.

“Ada kanak-kanak yang cepat menguasai kemahiran membaca, manakala ada yang lebih perlahan tetapi cemerlang dalam bidang lain.

“Yang penting, ibu bapa harus menilai kemajuan anak dari semasa ke semasa dan tidak membandingkan mereka dengan rakan sebaya, kerana perbandingan boleh menimbulkan tekanan yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk menghantar anak ke sekolah sebaiknya berasaskan kesiapsiagaan sebenar anak, bukan sekadar anggapan bahawa kemasukan lebih awal akan menjadikan mereka lebih pandai.

“Sekolah bukan sekadar tempat pembelajaran akademik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi dan sosial anak-anak.

“Jika anak dimasukkan terlalu awal sebelum bersedia, cabaran yang dihadapi boleh menjadi lebih besar dan kesannya mungkin akan berpanjangan,” katanya.

Tambahnya, persediaan secara berperingkat di rumah atau prasekolah biasanya sudah mencukupi.

“Ibu bapa tidak perlu meletakkan tekanan berlebihan kepada anak sebelum memasuki alam persekolahan, sebaliknya boleh memberi sokongan positif melalui aktiviti pembelajaran menyeronokkan, galakan emosi, dan peluang anak berinteraksi dengan rakan sebaya,” katanya.

Justeru itu, dengan pendekatan ini, transisi ke Tahun 1 dapat berjalan lebih lancar dan menyokong perkembangan menyeluruh anak.

Dalam konteks ini, jelas bahawa isu kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 bukan sekadar soal dasar pendidikan, tetapi juga turut mencerminkan kegelisahan ibu bapa yang terperangkap antara kehendak sistem dan realiti perkembangan anak.

Bagaimanapun, ibu bapa mesti sedar dalam keghairahan memastikan anak tidak ketinggalan, keputusan yang dibuat terlalu awal tanpa mengambil kira keperluan emosi dan sosial individu kanak-kanak pasti ada risikonya.

Hakikatnya, pendidikan awal seharusnya menjadi fasa untuk membina minat belajar, keyakinan diri serta kemahiran asas dalamkehidupan, bukannya medan perlumbaan yang menekan ibu bapa dan anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN