SEREMBAN – Berbekalkan pengalaman lebih lima tahun sebagai cef hotel empat bintang, seorang ibu memilih untuk meninggalkan dunia dapur profesional demi menjaga anaknya yang menghidap autisme selain membina perniagaan sendiri berasaskan makanan jalanan.
Pengasas Qisya 3017 Empire, Nur Syazana Zakaria, 36, berkata, dia kini mengusahakan perniagaan wantan secara kecil-kecilan di gerai tepi jalan sejak tiga bulan lalu.
Katanya, perniagaan tersebut dijalankan secara sederhana, namun menjadi sumber rezeki kepada keluarga terutama bagi menampung pembelajaran dan perkembangan anak lelakinya
Muhammad Nur Raziq Muhammad Nur Qisti, 12, yang menghidap autisme.
“Saya pernah berkhidmat sebagai cef di beberapa hotel ternama termasuk Klana Resort selain pengalaman bekerja sebagai pembantu cef di hotel empat bintang.
“Bagaimanapun, kerjaya itu terpaksa dilupakan apabila anak lelaki sulung dilahirkan secara pramatang sebelum menunjukkan tanda-tanda autisme.
“Saya berhenti kerja sepenuhnya pada tahun 2014 kerana perlu memberi fokus kepada anak. Kos terapi sangat tinggi dan memerlukan komitmen kewangan yang konsisten,” katanya ketika ditemui di Senawang semalam.
Menurut Nur Syazana, pengalaman bertahun-tahun dalam industri makanan memberi idea kepadanya mengusahakan perniagaan wantan sehingga ke hari ini.
“Saya mencari menu yang ringkas tetapi berbeza daripada peniaga sekitar. Wantan biasanya kita jumpa di kopitiam atau kedai terkenal, jadi saya bawa menu ini ke gerai tepi jalan dengan kualiti hampir setanding,” jelasnya.
Keistimewaan wantan jualannya terletak pada inti ayam yang dihasilkan sendiri, dikisar bersama ramuan dan perasa pilihan.
Proses penyediaan dilakukan segar, di mana wantan akan dimasak sebaik sahaja pesanan diterima pelanggan.
Ketika ini, Nur Syazana menawarkan beberapa variasi menu berasaskan wantan termasuk wantan goreng, wantan chilli oil, wantan mi kering dan wantan mi sup.
“Alhamdulillah, setiap hari ada jualan walaupun belum konsisten. Ada masa seminggu hanya terjual sekitar dua kilogram bahan mentah,” katanya.
Bagi menarik pelanggan, beliau menawarkan harga lebih rendah berbanding jenama besar serta menyediakan menu percuma agar pelanggan dapat mencuba rasa terlebih dahulu.














