PONTIAN – Pelancong dari Johor ketika ini memanfaatkan pengukuhan ringgit dengan bercuti ke Batam, Indonesia apabila mereka mampu memperoleh 4.255 juta rupiah dengan penukaran wang RM1,000.
Mereka menggunakan peluang cuti hujung minggu serta sambutan Hari Thaipusam kelmarin untuk ke negara jiran selain ada yang mengadakan majlis perjumpaan rakan-rakan di sana.
Menurut Saad Harun, 60-an, dia mengadakan reunion jemaah haji dari Pontian ke Batam dengan pakej tiga hari dua malam bersama pasangan masing-masing bermula pada hari Sabtu dan berakhir semalam.
Saad yang mengetuai rombongan itu berkata, pakej berharga RM700 seorang termasuk tambang feri dan penginapan dua malam selain kenderaan sewa bagi tujuan lawatan ke kawasan Batam adalah amat murah dan berbaloi ketika ini.
“Kos juga termasuk lawatan ke Pulan Bentan dan Pulau Penyengat di Tanjung Pinang yang merupakan destinasi pelancongan yang penuh dengan kesan sejarah dan budaya Melayu.
“Alhamdulillah kami yang pernah sama-sama pergi menunaikan haji pada 2017 dapat berkumpul bersama-sama pergi ke Batam sempena cuti panjang pada minggu lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Dia yang juga merupakan pesara Kementerian Kesihatan berkata, lawatan ke Batam tentunya ke lokasi seperti Jambatan Belerang, Pantai Nongsa, Taman tema Ocarina selain pusat beli-belah dan sebagainya.
“Nilai tersebut turut merangkumi lawatan ke Pulau Penyengat seperti aktiviti melawat makam Allahyarham Raja Ali Haji, Masjid Raya Pulau Riau yang diperbuat daripada putih telur, Istana Pulau Penyengat dan balai adat,” ujarnya.
Katanya, rata-rata ahli rombongan membelanjakan kira RM500 hingga RM1,000 bagi membeli pelbagai cenderamata, pakaian dan makanan yang tidak terdapat di Johor sebagai oleh-oleh untuk keluarga.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, gelombang rakyat Malaysia memilih Indonesia sebagai destinasi percutian semakin ketara sejak awal tahun ini, susulan pengukuhan nilai ringgit dengan kadar tukaran mata wang RM1 bersamaan 4,173 rupiah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Anjung Seri selaku agen jualan tiket feri ke Tanjung Balai, Nurlatifah Zohra Zakaria berkata, pihaknya banyak menerima tempahan daripada orang perseorangan dan rombongan sempena Tahun Baharu Cina pada pertengahan Februari nanti.
Katanya, ketika ini sebanyak tiga trip perjalanan setiap hari dari Kukup ke Tanjung Balai bermula dari pukul 8 pagi, 12 tengah hari dan 5.30 petang melalui Terminal Feri Antarbangsa Kukup (TFAK).
“Sekiranya ada permintaan yang ramai daripada pelawat ke Tanjung Balai mungkin ada tambahan feri memandangkan cuti panjang bermula pada 17 hingga 22 Februari nanti,” ujarnya.
Tambahnya, TFAK juga menyediakan perkhidmatan feri ke Selat Panjang di Kepulauan Riau sekali setiap hari pada pukul 3 petang dari Kukup dan 9 pagi dari Selat Panjang dengan perjalanan kira-kira tiga jam.














