SEBELUM wujudnya zaman moden, muka bumi ini terlebih dahulu dihuni oleh manusia zaman prasejarah. Kewujudan mereka ini dapat dibuktikan melalui penemuan rangka-rangka manusia prasejarah di seluruh dunia.
Malah, di Malaysia sendiri turut ditemukan rangka-rangka manusia prasejarah di beberapa lokasi.
Rangka manusia prasejarah juga telah diekskavasi di Gua Chawan di Lembah Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dan kemudian dibawa ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kajian lanjutan berkaitan kesihatan tulang manusia prasejarah.
Terdahulu, pakar arkeologi dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Kementerian
Pelancongan dan Budaya banyak membuat ekskavasi di gua-gua di Lembah Nenggiri termasuk Gua Chawan.
Sebanyak empat rangka manusia dari Gua Chawan telah dikenal pasti dan dikaji oleh pasukan penyelidik UKM.
Kajian tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman bersama pasukan penyelidik terdiri daripada Prof. Madya Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli, Prof. Madya Dr. Chin
Kok Yong, Dr. Nor Atika Md. Ashar, Dr. Fairus Ahmad dan Dr. Wong Sok Kuan.
Penyelidikan tersebut dijalankan melalui kolaborasi antara Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Atma.
Dr. Ima Nirwana berkata, untuk penyelidikan itu mereka mengkaji tentang perbezaan antara rangka tulang manusia prasejarah dengan manusia moden.
Menurutnya, mereka mengimbas tulang-tulang daripada rangka tersebut dan mendapatkan maklumat mengenai rupa bentuk, kekuatan serta kepadatan tulang manusia prasejarah itu.
“Dapatan yang kami peroleh daripada penyelidikan ini ialah rupa bentuk tulang-tulang ini tidak berbeza daripada tulang manusia moden.
“Jadi, kami menganggap bahawa manusia prasejarah ini lebih kurang serupa dengan kita,” katanya kepada K-Kampus ketika ditemui sempena pameran rangka manusia prasejarah di Fakulti Perubatan UKM, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Buat julung kalinya sejak penubuhan Fakulti Perubatan UKM pada tahun 1972, rangka manusia prasejarah dipamerkan kepada umum di Muzium Anatomi dan Patologi, Fakulti Perubatan UKM.
Dari segi bentuk, saiz, ketumpatan tulang serta struktur dalaman, rangka manusia prasejarah ini didapati hampir sama dengan manusia hari ini.
Anggaran ketinggian individu prasejarah yang dikaji pula berada dalam lingkungan 160 hingga 172 sentimeter, selari dengan purata ketinggian masyarakat moden.
“Hasil daripada penyelidikan, kesimpulan yang dapat dibuat adalah tidak banyak perbezaan tahap kesihatan tulang manusia prasejarah dengan manusia moden,” kata Dr. Ima Nirwana.

Jelasnya, analisis kajian dijalankan menggunakan kaedah pengimejan tanpa musnah bagi memastikan pemeliharaan optimum tinggalan prasejarah yang amat bernilai ini.
Antara teknologi yang digunakan ialah Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA), Computed Tomography (CT) dan micro-CT.
Hasil kajian turut mendapati ketumpatan serta struktur dalaman mikro tulang manusia prasejarah ini adalah sebanding dengan manusia moden di rantau ini.
Saiz, bentuk tulang dan anggaran ketinggian individu juga menunjukkan persamaan dengan populasi tempatan masa kini.
Dalam pada itu, analisis pentarikhan menggunakan kaedah Karbon-14 mendapati individu-individu tersebut meninggal dunia sekitar 7,000 hingga 9,200 tahun yang lalu.
Penentuan jantina dan anggaran usia ketika maut telah dijalankan oleh pakar odontologi forensik dari Fakulti Pergigian UKM, Dr. Nor Atika Md. Ashar mendapati rangka-rangka manusia prasejarah tersebut terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Dr. Nor Atika menjelaskan, mereka membuat jangkaan jantina dan umur dengan melihat kekuatan rahang bawah pada rangka-rangka tersebut.
“Ini kerana gigi adalah struktur yang paling tahan di dalam tubuh badan manusia. Enamel gigi mempunyai komposisi organik yang tinggi, jadi ia boleh kekal lama walaupun kita telah meninggal dunia,” jelasnya.
Tambahnya, struktur gigi itu yang membolehkan mereka melihat perubahan dan juga membuat jangkaan umur dengan melihat struktur di dalam gigi.
Apabila kita meningkat usia perubahan dalam struktur gigi adalah lebih terkawal dan ukuran boleh dibuat berdasarkan struktur tersebut.
Struktur gigi tersebut yang membolehkan mereka membuat jangkaan umur untuk rangka-rangka manusia prasejarah tersebut.
Bagaimanapun, Dr. Nor Atika melihat ada sedikit perbezaan antara gigi untuk rangka manusia prasejarah dan manusia moden.
“Kita melihat untuk manusia prasejarah ini gigi mereka lebih haus berbanding manusia moden.
“Ini kerana mereka menggunakan gigi untuk pelbagai perkara pada ketika itu termasuk untuk membuat peralatan memburu,” jelasnya.
Tambahnya, walaupun gigi masih kekal dan utuh tetapi kehausan pada permukaan gigi dapat dilihat.
Dalam pada itu, bagi membolehkan masyarakat umum melihat rangka-rangka ini, buat julung kalinya rangka manusia prasejarah dipamerkan kepada umum di Muzium Anatomi dan Patologi, Fakulti Perubatan UKM.
Rangka-rangka prasejarah ini kini dipamerkan bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat umum mengenai kesihatan, gaya hidup serta persekitaran hidup manusia prasejarah berdasarkan analisis tulang dan gigi yang masih bertahan hingga ke hari ini.
Pameran ini juga menjadi medium pendidikan yang berkesan serta platform komunikasi ilmu antara penyelidik dan masyarakat.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kajian ke atas tinggalan manusia prasejarah adalah amat menarik.
Menurutnya, keutuhan tulang dan gigi, walau ribuan tahun telah berlalu, membolehkan manusia zaman sekarang mengenali dengan lebih dekat kehidupan manusia di zaman prasejarah.
“Cara pengebumian, alat-alat dan artifak yang berada di sisi rangka serta persekitaran di mana terdapatnya rangka itu memberi gambaran tentang cara hidup manusia prasejarah.
“Oleh kerana hanya tulang dan gigi sahaja yang bertahan ribuan tahun, maka kajian saintifik yang terperinci ke atas tinggalan-tinggalan ini adalah amat wajar diberi perhatian,” katanya ketika berucap merasmikan majlis perasmian pameran rangka manusia prasejarah.
Tambahnya, objektif kajian rintis oleh pasukan penyelidik Fakulti Perubatan UKM ke atas ciri-ciri biologi tulang manusia prasejarah adalah untuk menentukan status kesihatan tulang mereka.
Kajian tersebut adalah satu-satunya penyelidikan seumpamanya di negara ini dan melibatkan kolaborasi sains perubatan dan pergigian dengan sains sosial.
Maklumat yang diperoleh akan membantu ahli arkeologi memahami lebih mendalam cara hidup dan budaya masyarakat purba di Semenanjung Malaysia.
Kata Dr. Sufian, kefahaman mengenai cara hidup dan budaya masyarakat purba ini apabila digandingkan dengan ciri-ciri biologi tulang mereka berpotensi untuk hasilkan hipotesis baharu yang boleh diuji.
“Ini adalah semangat atau ‘spirit’ sebenar penyelidikan, di mana dapatan daripada sesuatu kajian rintis membawa kepada kajian-kajian selanjutnya.
“Maklumat yang diperoleh daripada kajian-kajian masa hadapan ini berpotensi digunakan untuk mempertingkat penjagaan kesihatan masyarakat masa kini,” jelasnya.














