fbpx
PARA peserta diraikan dalam majlis penutup Perlawanan Persahabatan TVET ASEAN di Kuala Lumpur.

TVET Pembinaan CIDB di pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha memperkasa pembangunan tenaga kerja tempatan agar memiliki tahap kompetensi kemahiran yang diperlukan oleh industri pembinaan negara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus komited melaksanakan program akreditasi bagi Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang inklusif dan mudah diakses oleh semua warga tempatan.

Di samping memperluas akses latihan dan pensijilan, pendekatan ini turut disokong oleh penumpuan strategik CIDB terhadap pembangunan tred-tred (peningkatan kemahiran dan pensijilan pekerja binaan) berimpak tinggi yang menjadi keutamaan industri serta relevan di pentas pertandingan kemahiran antarabangsa seperti WorldSkills.

Antaranya bidang yang disertai untuk pertandingan kemahiran termasuk kimpalan, perancah, perpaipan, operasi kren dan Non-Destructive Testing (NDT).

Pengurus Besar Kanan, Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor berkata, penekanan terhadap tred-tred ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada warga tempatan.

Malah, ia membentuk asas pembangunan bakat kompetitif yang mampu diuji keupayaannya melalui platform pertandingan kemahiran bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

“Seiring dengan pendekatan berfokus ini, penglibatan aktif CIDB dalam ekosistem WorldSkills telah membuahkan pelbagai pencapaian membanggakan menerusi penyertaan peserta di dalam pertandingan kemahiran di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Usaha pembangunan bakat ini bermula dengan penyertaan dalam ASEAN Skills Competition 2016 di Kuala Lumpur melalui bidang mengecat dan menghias, diikuti WorldSkills Competition (WSC) 2017 di Abu Dhabi yang melibatkan bidang mengecat dan menghias serta dinding dan jubin lantai,” katanya.

Tambahnya, pencapaian yang lebih signifikan direkodkan pada tahun 2018 apabila peserta dalam bidang kimpalan dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan memenangi pingat gangsa di ASEAN Skills Competition Bangkok sebelum berjaya meraih pingat emas di WorldSkills Asia Abu Dhabi.

Kejayaan tersebut turut disusuli dengan kemenangan pingat perak bagi bidang mengecat dan menghias serta penganugerahan Medal of Excellence kepada beberapa pelatih lain.

Selain itu, banyak lagi pertandingan kemahiran yang disertai oleh peserta dari CIDB dan meraih kejayaan yang membanggakan.

Dalam konteks ini, pertandingan kemahiran seperti WorldSkills berperanan sebagai pentas berprestij yang menguji keupayaan sebenar tenaga mahir muda negara.

PERTANDINGAN kemahiran seperti WorldSkills berperanan sebagai pentas berprestij yang menguji keupayaan sebenar tenaga mahir muda negara.

Ia bukan sahaja dari segi penguasaan kemahiran teknikal, malah merangkumi aspek disiplin, ketahanan mental serta keupayaan berfikir secara strategik dalam persekitaran bertekanan tinggi.

Suhaimi berkata, bagi tahun 2026, cabaran pertandingan kemahiran ini diteruskan apabila seramai 11 orang peserta daripada ABM dan CIDB Technologies berjaya melangkah ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.

Menurutnya, penyertaan tersebut melibatkan lima bidang utama berkaitan sektor pembinaan iaitu bricklaying, mengecat dan menghias, perpaipan dan pemanasan, penyejukan dan penyaman udara serta kimpalan

“Kesemua bidang ini merupakan antara tred kemahiran kritikal dalam industri pembinaan negara.

“Kejayaan ini merupakan hasil sinergi kukuh antara peserta, jurulatih dan keseluruhan ekosistem Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pembinaan yang diterajui oleh

CIDB menerusi rangkaian institusi latihannya seperti ABM dan CIDB Technologies,” jelasnya.

Tambahnya, dedikasi tenaga pengajar, jurulatih serta pakar kemahiran di institusi-institusi ini menjadi tunjang utama dalam membentuk peserta yang bukan sahaja kompeten, malah berupaya bersaing di peringkat nasional.

Kejayaan melayakkan diri ke peringkat akhir merupakan satu pencapaian yang membanggakan, ia turut membawa cabaran besar kepada CIDB sebagai agensi peneraju pembangunan bakat kemahiran pembinaan negara.

Antara cabaran utama ialah memastikan kesemua peserta menerima latihan yang benar-benar rapi, mencukupi dan menyeluruh menjelang pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2026.

Suhaimi menjelaskan, persediaan ini perlu melangkaui penguasaan kemahiran teknikal asas dengan memberi penekanan kepada inovasi, penyelesaian masalah, pengurusan masa serta pematuhan ketat terhadap spesifikasi dan piawaian pertandingan WorldSkills.

“Selain itu, aspek kesediaan fizikal, mental dan emosi peserta turut menjadi keutamaan.

“Persekitaran pertandingan WorldSkills yang berintensiti tinggi menuntut tahap fokus, ketahanan mental dan disiplin yang luar biasa,” ulasnya.

Secara keseluruhannya, kejayaan 11 orang peserta mara ke pertandingan akhir WSMB 2026 merupakan bukti jelas bahawa kualiti pelatih TVET Pembinaan di bawah ekosistem CIDB adalah setanding dengan standard kemahiran tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Diharapkan pencapaian di peringkat nasional ini dapat menjadi landasan kukuh ke arah melahirkan wakil Malaysia yang lebih berdaya saing di pentas WorldSkills International, seterusnya mengharumkan nama negara dan memperkukuh imej sektor pembinaan sebagai industri berteknologi, profesional dan berdaya saing global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN