DESTINASI percutian bukan hanya melibatkan elemen hiburan semata-mata, sebaliknya harus menggabungkan ilmu, sejarah dan budaya dalam satu pengalaman yang menyeluruh.
Dalam mencari percutian bermakna sambil menimba pengetahuan, salah satu lokasi yang boleh dijadikan pilihan adalah Muzium Sultan Alam Shah.
Menjadi antara destinasi pelancongan berteraskan sejarah dan budaya yang paling penting di Selangor, muzium terletak di Shah Alam, Selangor itu, bukan sekadar pusat pameran artifak lama.
Sebaliknya, muzium itu menjadi gedung ilmu yang merakam perjalanan sejarah negeri Selangor.
Menurut Pegawai Penerangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Farhani Shamsudin, Muzium Sultan Alam Shah menyimpan pelbagai koleksi peninggalan dari zaman Kesultanan Melayu hingga era moden.
“Dengan seni bina yang unik dan koleksi yang kaya, muzium ini sesuai dijadikan destinasi percutian berunsur pendidikan untuk seisi keluarga.
“Selepas dibuka semula pada tahun lalu, Muzium Sultan Alam Shah telah menjalani beberapa penambahbaikan dan tarikan baharu bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.
Dibuka secara rasmi pada tahun 1989, Muzium Sultan Alam Shah dinamakan sempena Sultan Selangor kelapan, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

di negeri Selangor.
Tambah Farhani, bangunan muzium itu menampilkan seni bina tradisional Melayu yang megah, diinspirasikan daripada reka bentuk rumah istana lama dengan bumbung bersusun dan ukiran halus.
Struktur bangunan itu bukan sahaja menarik dari segi estetik, malah mencerminkan identiti dan kedaulatan warisan Melayu yang menjadi tunjang sejarah Selangor.
Antara tarikan utama muzium itu adalah galeri pamerannya yang disusun secara tematik.
“Pengunjung berpeluang meneroka Galeri Sejarah Awal yang memaparkan penemuan arkeologi, artifak prasejarah serta bukti awal penempatan manusia di Selangor.
“Pameran ini memberi gambaran jelas tentang kehidupan masyarakat awal, kegiatan ekonomi dan perkembangan sosial sebelum wujudnya sistem pemerintahan moden,” ujarnya.
Katanya lagi, setiap artifak dipersembahkan dengan penerangan yang terperinci, sekali gus menjadikan lawatan lebih bermakna dan mudah difahami.
Selain itu, Galeri Kesultanan Selangor menjadi tumpuan ramai kerana mempamerkan salasilah raja-raja Selangor, koleksi diraja, busana istiadat, senjata tradisional serta replika singgahsana.
Galeri itu bukan sahaja memperkenalkan institusi kesultanan, malah menonjolkan peranan penting raja-raja Selangor dalam membentuk pentadbiran dan pembangunan negeri.
Bagi pengunjung muda, pameran itu dapat menyemai rasa hormat terhadap institusi beraja dan sejarah negara.
Menurut Farhani, Muzium Sultan Alam Shah turut menampilkan galeri budaya dan adat resam masyarakat Selangor yang berbilang kaum.

“Pengunjung dapat melihat koleksi tekstil tradisional seperti songket dan batik, peralatan rumah lama, alat muzik tradisional serta paparan mengenai adat perkahwinan dan upacara masyarakat Melayu.
“Pameran ini memperlihatkan kekayaan budaya tempatan yang menjadi identiti negeri Selangor, sekali gus memupuk kefahaman tentang kepelbagaian warisan dan budaya Malaysia,” jelasnya.
Selain tarikan sedia ada, Muzium Sultan Alam Shah turut memperkenalkan galeri baharu yang bertemakan hidupan liar dan alam sekitar.
Menariknya, pameran di ruang itu menampilkan pelbagai spesies haiwan dari zaman Prasejarah.
“Ini merupakan tarikan baharu di sini. Kesemua bahan pameran ini merupakan haiwan sebenar yang diawet sendiri oleh pasukan kami.
“Semua spesies yang diawet merupakan haiwan yang telah mati kerana sakit atau kemalangan.
“Kami mengawetnya untuk tujuan pendidikan kepada masyarakat,” katanya.
Dari sudut pelancongan keluarga, muzium itu menawarkan suasana selesa dan mesra pengunjung.
Kawasan sekeliling muzium yang hijau dan teratur, sesuai untuk bersantai, manakala ruang dalaman yang luas memudahkan pergerakan pengunjung.
Aktiviti pendidikan seperti lawatan berpandu, pameran sementara dan program kesedaran sejarah sering dianjurkan bagi menarik minat generasi muda terhadap warisan negara.














