DI Malaysia, kanser paru-paru merupakan salah satu masalah kesihatan yang membimbangkan.
Hal ini kerana penyakit itu menjadi ‘pembunuh senyap’ berikutan ramai pesakit didiagnosis berhadapan kanser tersebut pada tahap tiga dan empat.
Kanser paru-paru ialah kanser kedua paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki dan keempat bagi wanita.
Walaupun kanser paru-paru kerap dikaitkan dengan tabiat merokok, namun realitinya semakin ramai pesakit yang tidak pernah merokok turut didiagnosis menghidap kanser paru-paru, termasuk wanita dan golongan muda.
Pakar Perunding Onkologi di Pusat Kanser OncoCare Malaysia, Dr. Yugarajah Asokumaran berkata, majoriti pesakit yang didiagnosis menghidap kanser paru-paru mempunyai sejarah merokok.
“Namun begitu, kami juga melihat peningkatan ketara kes kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok sejak 1990-an. Ia menjadi satu trend yang sangat membimbangkan.
“Ada beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku, antaranya second hand smoke (SHS) iaitu pendedahan kepada asap rokok orang lain,” katanya.
Sebagai contoh, apabila suami merokok, isteri dan anak-anak tetap berisiko, walaupun rokok dihisap di luar rumah. Hal ini kerana partikel daripada asap rokok boleh melekat pada baju dan kulit, sekali gus terdedah kepada orang di sekeliling.
Selain itu, pencemaran udara, habuk industri, asap masak tanpa pengudaraan yang baik, serta faktor persekitaran dan tempat kerja juga menyumbang kepada risiko kanser paru-paru.
Mengulas lanjut, Dr. Yugarajah menjelaskan, secara umumnya, pesakit yang didiagnosis berhadapan dengan kanser paru-paru biasanya sudah berusia.
“Namun sejak kebelakangan ini, kita nampak trend golongan muda turut berhadapan dengan kanser paru-paru.
“Kita pernah jumpa pesakit berusia antara 20 hingga 30 tahun yang didiagnosis dengan masalah kanser paru-paru,” terangnya.

Faktor persekitaran menjadi punca utama seseorang itu berhadapan dengan masalah tersebut. Untuk makluman , kanser paru-paru disebabkan faktor genetik sangat jarang berlaku.
Sementara itu, ketiadaan simptom pada peringkat awal menjadi salah satu cabaran terbesar untuk merawat kanser paru-paru.
Dr. Yugarajah berkata, disebabkan itu, ramai pesakit yang dikesan berhadapan dengan kanser paru-paru pada tahap lewat.
“Berdasarkan statistik, kebanyakan pesakit yang didiagnosis dengan masalah ini sudah berada pada tahap empat.
“Bagaimanapun, ada beberapa simptom yang kita boleh peka seperti batuk berpanjangan, kehilangan berat badan dengan ketara dan susah bernafas,” jelasnya.
Tambahnya, sebaiknya pemeriksaan awal perlu dilakukan bagi mengesan kehadiran kanser tersebut lebih awal.
Untuk makluman, kanser paru-paru tidak boleh didiagnosis melalui satu ujian sahaja.
“Biasanya pesakit datang dengan simptom seperti batuk berpanjangan.
“Apabila pemeriksaan awal menerusi sinar-X pada bahagian dada menunjukkan sesuatu yang tidak normal, maka kita akan meneruskan dengan imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
“Selepas itu, biopsi dilakukan, dan keputusan biopsi inilah yang mengesahkan diagnosis kanser,” ujar Dr. Yugarajah.
Dalam pada itu, pesakit yang didiagnosis dengan kanser paru-paru tahap satu dan dua lazimnya dirawat dengan harapan untuk sembuh.
Menurut Dr. Yugarajah, bagi kanser tahap tiga, kesembuhan bergantung kepada jenisnya.
“Untuk tahap tiga, ada tiga jenis iaitu A, B dan C. Kita akan bagi rawatan untuk sembuhkan, tetapi tidak semua boleh disembuh.
“Manakala untuk tahap empat, ada jenis kanser paru-paru yang membolehkan pesakit hidup lebih lima tahun,” jelas Dr. Yugarajah.
Seiring perkembangan teknologi pada masa kini, rawatan kanser paru-paru juga semakin baik.
Bagi kanser paru-paru tahap empat yang bersifat agresif, jika pesakit berpeluang mendapatkan rawatan sesuai, kebanyakan mereka boleh hidup lebih dari setahun.














