HULU SELANGOR – Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan di sini lega dengan keputusan kerajaan negeri yang membatalkan cadangan pembinaan ladang babi berskala besar di kawasan Bukit Tagar.
Bagi mereka, keputusan pembatalan itu bukan isu politik atau sentimen semasa, sebaliknya mengenai kelangsungan hidup, kesihatan awam dan sensitiviti penduduk setempat.
Seorang penduduk, Mohd. Salleh Mohd. Taiban, 42, berkata, keputusan itu dianggap tepat dan selari dengan kehendak masyarakat di kawasan tersebut.
“Kami memang tak nak (bantah) sejak dari awal lagi. Kalau betul projek tersebut (pembinaan ladang babi) dibatalkan, memang lega,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Jelasnya, isu pencemaran dan kesihatan menjadi kebimbangan utama penduduk kerana bau sampah di kawasan itu ketika ini sukar dibendung, apatah lagi sekiranya ladang dibina seperti yang diperkatakan sebelum ini.
Sementara itu, peniaga, Rahmah Saud, 60, bersyukur kerana bantahan mereka terhadap cadangan pembinaan kandang babi moden di Bukit Tagar mendapat perhatian kerajaan Selangor.
Dia yang sudah lebih 38 tahun menetap di Felda Sungai Tengi Selatan berkata, penduduk di kawasan ini memerlukan kemudahan seperti hospital yang masih belum direalisasikan sehingga kini, bukannya ladang babi.
Bagi Zarina Abu Bakar, 52, dia menyokong penuh pembatalan projek ladang babi berskala besar di Bukit Tagar dan mahu kerajaan negeri berpegang teguh dengan keputusan tersebut.
“Alhamdulillah, kalau betul dibatalkan. Kalau boleh (batal) selama-lamanya,” katanya.
Penduduk memaklumkan, jarak Bukit Tagar dan Felda Sungai Tengi Selatan sejauh 11 kilometer perlu diberikan perhatian termasuk pencemaran alam dan risiko kesihatan untuk tempoh jangka panjang.
Semalam Kosmo! melaporkan kerajaan negeri Selangor membatalkan sementara cadangan pembangunan ladang babi di Bukit Tagar dan akan mencari lokasi alternatif yang sesuai bagi aktiviti penternakan moden.
Cadangan pembinaan ladang babi itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan projek di Bukit Tagar dibatalkan dengan mengambil kira keresahan penduduk di kawasan tersebut.
Pada 16 Januari lalu, lebih 200 penduduk Felda Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa serta penempatan di Bestari Jaya mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan ladang babi moden di Bukit Tagar.
Bantahan turut ditunjukkan lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan Islam yang menentang sekeras-kerasnya penternakan ladang babi termasuk cadangan di Bukit Tagar.














