PETALING JAYA – Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) akan mengemukakan permohonan kepada Kedutaan Filipina supaya menyemak semula kadar gaji minimum kira-kira 25,000 pembantu rumah dari negara itu di Malaysia ketika ini.
Presidennya, Datuk Foyo Yong Hooi berkata, permohonan tersebut dibuat bagi mengimbangi peningkatan nilai ringgit yang kini semakin kukuh kepada RM3.9992 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)
Bagaimanapun, katanya, permohonan untuk menurunkan gaji pembantu rumah Filipina hanya akan dibuat selepas kadar tukaran ringgit dilihat stabil dalam tempoh tertentu.
“Gaji pembantu rumah dari Filipina ditetapkan pada kadar AS$500 (RM2,000) dan boleh dipertimbangkan semula sekiranya kadar tukaran ringgit terus meningkat melebihi lima peratus daripada nilai asal.
“Ketika ini, nilai ringgit yang stabil memberi ruang untuk kita memohon penurunan kadar gaji pembantu rumah dari negara tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kerajaan Filipina pada Ogos tahun lalu menguatkuasakan kenaikan gaji minimum pembantu rumah warga Filipina daripada AS$400 kepada AS$500 sebulan, iaitu daripada kira-kira RM1,800 kepada RM2,200.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Papa menegaskan pelaksanaan kadar baharu itu menyebabkan kebanyakan majikan di Malaysia menanggung beban kewangan yang tinggi.
Yong Hooi berkata, sebelum ini AS$1 bersamaan RM4.20 dan dengan kadar tukaran yang lebih kukuh, pembantu rumah dari Filipina akan menerima nilai gaji yang lebih tinggi.
Justeru, katanya, apabila kadar tukaran turun sehingga RM3.90, Filipina wajar menurunkan gaji minimum pembantu rumah dari negara itu.
“Kadar itu perlu disemak kembali bagi tidak beri beban kepada majikan di sini,” ujarnya.














