WALAUPUN trip ini hanyalah memancing secara santai, namun keselesaan dan persiapan terutamanya bab makanan dan minuman perlulah yang terbaik untuk mendapatkan kepuasan yang maksimum.
Apa-apa trip memancing, walau di mana sahaja lokasinya, semua ini memerlukan ‘ongkos’ yang tinggi dan sudah tentulah trip ini tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Kebiasaannya untuk trip memancing selama dua hari, satu malam seperti ini saya akan menyediakan dua kategori kelengkapan memancing, iaitu alatan kelas berat dan sederhana berat.
Sebelum memulakan trip, kami bermalam di Chalet Kampung Permatang untuk beristirahat.
Keesokan hari sesudah bersarapan, kami ke kedai umpan untuk mengambil bekalan udang hidup yang telah ditempah awal.
Umpan ini merupakan insurans untuk mendapatkan hasil tangkapan ikan bergred baik jika memancing sekitar perairan Pulau Sembilan.
Selesai semua urusan, kami berenam terus pergi ke Jeti Ikan Bakar Teluk Muroh. Tekong Pak Man sudah menunggu di bot kayunya.
Di sini kami perlu naik bot dari pantai bukannya dari jeti berpelantar. Jadi, keadaan pasang dan surut air amat penting untuk pergerakan bot.
Sesudah memunggah segala barangan ke dalam bot, kami terus bergerak ke destinasi pertama yang menjadi target tekong iaitu kawasan kapal-kapal besar parkir di perairan Pulau Pangkor.
Sesi apollo
Tekong menyarankan memainkan apollo untuk ikan cencaru terlebih dahulu kerana arus yang sangat bersesuaian untuk aktiviti tersebut.
Batu ladung nombor 12 digunakan supaya apollo dapat tenggelam ke paras 12 hingga 15 meter, di perimeter kumpulan ikan cencaru berada.
Batu ladung yang berat itu juga dapat memastikan supaya apollo tidak bergumpal dan kusut jika sekumpulan ikan cencaru kuda, iaitu gelaran untuk ikan cencaru bersaiz kasar, membedal kesemua mata kail apollo.
Apollo lima perambut anak buatan sendiri (DIY) dari tali rafia warna putih yang saya tempah khas dipertaruhkan dan terbukti ia cukup berkesan untuk ikan cencaru.
Setiap kali ia diturunkan pasti ada sekurang-kurangnya seekor ikan cencaru yang naik, selalunya ia akan ‘full house’ iaitu kesemua mata kail apollo DIY ini kena ikan.
Pulau Batu Putih
Puas main apollo, tekong meneruskan perjalanan ke Pulau Batu Putih. Pulau ini antara lokasi yang paling jauh ke atas di dalam gugusan pulau-pulau di Pulau Sembilan.
Di sini kami memfokuskan acara light jigging. Beberapa lokasi dicuba tetapi kurang mendapat sambutan. Hanya Ammar seorang yang menggunakan jig saiz 60 gram (g) kena seekor ikan talang.
Sesi ‘melayang’ umpan udang hidup langsung tiada menerima sebarang getuan dari ikan, berkemungkinan disebabkan arus yang tidak bersesuaian atau ikan tidak berada di perimeter tersebut ketika itu.

Suasana yang sendu menyebabkan kami berpindah lokasi untuk mencandat sotong mengabang pula.
Mencandat sotong ini di Pulau Sembilan tidaklah serancak aktiviti yang sama di perairan Pantai Timur, lebih-lebih lagi jika bukan musimnya. Namun, ia memadai sekadar dapat seekor dua bagi dijadikan alternatif umpan untuk sesi pan cingan di malam hari nanti.
Pancing dasar
Senja menjelang dan tekong bersauh di tengah alur Pulau Samak iaitu pulau yang kami mencandat sotong mengabang pada petang tadi. Kedalaman air di sonar dibaca 55 meter (m).
Ini merupakan lokasi yang baik untuk pancing dasar menggunakan set pancingan elektrik. Saya tidak menunggu lama untuk menaikkan seekor kerapu. Begitu juga Nasir dan Aznil dengan masing-masing dapat ikan jenahak saiz hidangan (table size).
Sesi pancingan agak sepi selepas menaikkan beberapa ekor ikan itu tadi. Saya perasan yang arus menjadi sekejap laju, sekejap perlahan. Banyak kali perambut kami putus dicukai oleh ikan alu-alu walaupun perambut sekasar 80lb.
Resah dengan suasana sebegitu, masing-masing merebahkan diri tidur hingga ke pagi.
Pesta gerut-gerut
Selepas sarapan, tekong mengambil keputusan untuk pergi mencari ikan cencaru. Setengah jam perjalanan bot kami sampai di lokasi kapal-kapal besar parkir.
Tidak seperti pagi semalam, ikan cencaru menjadi pasif pula. Apollo langsung tidak bercuit walaupun puas kami bertukar-tukar ritma unjunannya.
Melihatkan keadaan sebegitu, terus saya mencuba pancing dasar menggunakan umpan hirisan sotong mengabang. Tiba-tiba joran saya menunduk, ikan kuat juga melawan dan akhirnya seekor gerut-gerut memunculkan diri di permukaan air.
Memandangkan ada harapan di situ, saya ujarkan kepada rakan-rakan lain supaya meninggalkan sesi apollo dan bertukar ke pancingan dasar.
Betul-betul kami berada di rumah ikan gerut-gerut kerana dalam masa kurang dari dua jam, 15 ekor ikan tersebut berjaya kami pancing.
Pukul 12.30 tengah hari tekong menamatkan trip dan harus pulang segera bagi mengelakkan bot tidak dapat rapat ke pantai akibat air yang terlalu surut.














