KUALA LUMPUR – Selepas mengumumkan pertunangannya pada Oktober tahun lalu, pelakon Puteri Balqis mengakui kehadiran jejaka bernama Didi menjadi pelengkap kehidupannya bersama keluarga.
Lebih membahagiakan pemilik nama penuh Puteri Balqis Azizi, 19, itu, hubungan baik yang terjalin bersama keluarga tunangan membuatkan hari-harinya terasa lebih tenang baik dalam soal karier atau peribadi.
“Sekarang saya sangat bahagia sama ada berkaitan keluarga atau kerjaya. Boleh dikatakan ada satu ‘puzzle’ yang sudah diselesaikan tapi ada satu ‘puzzle’ lain yang mencantikkan lagi.
“Ya, melengkapkan. Saya sangat berbesar hati dengan keluarga saya dan keluarga tunang saya yang sangat baik,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! Di TGV Cinema Suria KLCC, di sini, semalam.
Meskipun diulit bahagia, pelakon drama Akulah Balqis itu memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai pertunangannya selain mahu menyimpan kemas hal peribadi.
“Mengenai keluarga dan pertunangan, saya tak mahu bercerita lebih sebab mereka (keluarga) sudah melalui pelbagai perkara sebelum ini.
“Jadi, saya mahu berkongsi mengenai kerjaya sahaja. Soal peribadi, biar saya jawab yang hanya boleh dijawab sahaja,” katanya lagi.
Sebelum ini, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish itu memaklumkan khabar pertunangannya melalui media sosial yang dipercayai berlangsung pada 12 Ogos lalu.
Aqish juga pernah tampil menjelaskan status dua jejaka yang kerap dilihat bersamanya, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.
Menurut Aqish, lelaki yang dikenali sebagai Faris adalah ayah tirinya, manakala seorang lagi, iaitu Didi sebagai tunangnya.
Dalam perkembangan lain, Aqish membintangi drama Anugerah Tanpa Cahaya yang akan bersiaran sebanyak 10 episod mulai 16 Mac ini menerusi platform penstriman, Tonton.
Selain Aqish, drama berkenaan turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail. – KOSMO! ONLINE














