fbpx
SEORANG sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO), Geng Plastik Ija (GPI) membersihkan sampah di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus baru-baru ini.

Sampah Vietnam, Thailand cemari Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Setiap kali musim tengkujuh melanda, pemandangan 244 kilometer (km) pesisir pantai di Terengganu dicemari dengan lambakan sampah ‘import’ seperti plastik dan botol minuman terutama dari negara Vietnam dan Thailand.

Dianggarkan 120 tan sampah terdampar di pesisir pantai negeri ini setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) sehingga menjadikan keadaan itu di luar kawalan.

Tinjauan di beberapa pantai peranginan seperti Pantai Tok Jembal dan Pantai Seberang Takir, di sini serta Pantai Pandak, Kuala Terengganu mendapati hampir 80 peratus sampah tersebut merupakan sisa plastik dan pembungkus makanan.

Kebanyakan pembungkus plastik ditemui itu bertulisan Vietnam dan Thailand serta bukanlah produk makanan yang biasa dipasarkan di negara ini.

SEBAHAGIAN sampah asing dari Vietnam, Thailand, China dan Myanmar yang mencemari pesisir pantai di Terengganu.

Pakar Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berkata, fenomena lambakan sampah asing terdampar di pesisir pantai Terengganu itu berpunca dari pergerakan arus laut dari utara di Laut China Selatan sepanjang tempoh MTL.

“Antara negara yang dikenal pasti menjadi ‘penyumbang’ utama sampah-sampah tersebut ialah Thailand dan Vietnam. Ini kerana kedudukan dua negara itu hampir dengan Pantai Timur. Ada juga dari China, Myanmar dan Indonesia tetapi kuantitinya lebih sedikit,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, sampah asing itu turut di­hanyutkan di pesisir pantai Kelantan dan Pahang namun lebih ketara di Terengganu kerana jajaran pantainya yang panjang.

“Angin kencang dan ombak besar sepanjang tempoh MTL mempercepatkan proses sampah terdampar ke pesisir pantai berbanding musim lain.

“Lagi pun arus MTL lebih kuat berbanding Monsun Barat Daya sekali gus membawa lebih ba­nyak sampah dari utara,” katanya.

Katanya, pencemaran rentas sempadan berkenaan berlaku kerana laut tidak mempunyai sempadan fizikal.

“Keadaan ini telah mencacatkan pemanda­ngan pantai Terengganu selain mengganggu aktiviti rekreasi dan membaha­yakan keselamatan pengunjung.

“Ia juga memberi risiko terhadap hidupan marin seperti penyu dan burung yang menyangka sampah plastik itu merupakan sumber makanannya,” katanya.

SEBAHAGIAN sukarelawan GPI membersihkan Pantai Kelulut, Marang baru-baru ini.

Katanya, biarpun fenomena tersebut di luar kawalan, komuniti setempat dengan galakan pihak berkuasa dan kerajaan negeri boleh mengurangkan impak negatifnya dengan kerap melakukan pembersihan di pesisir pantai terlibat.

“Masyarakat juga perlu membudayakan kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata.

“Kita mungkin lupa sampah domestik yang dibuang ke longkang juga akan mengalir pantai menerusi aliran sungai,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN