IKAN kap kepala besar atau juga dipanggil ikan tongsan sisik halus terkenal dengan ketidaksudiannya terhadap apa-apa sahaja umpan yang dihulurkan kepadanya. Apatah lagi jika ia bersaiz besar.
Ikan ini juga gemar bermain di permukaan air lombong dalam satu kumpulan yang besar seolah-olah ‘mengejek’ pemancing yang sedang berada di tebing lombong.
Ini membuatkan ramai pemancing naik amarah dan kesudahannya mereka akan menggunakan satu atau secara berangkai mata tiga (treble hook) saiz besar dengan pemberat dan menyembat ikan ini jika kelihatan kumpulannya bermain air.
Ada juga pemancing yang merasuah dedak ayam skala besar-besaran di kawasan yang telah dikenal pasti ada kewujudan ikan kap ini. Mereka kemudian akan membaling mata tiga tersebut di lokasi dedak ditabur.
Apabila terdapat buih-buih halus timbul di permukaan air yang menandakan kumpulan ikan kap ini sudah mula berkumpul, mereka akan memerhatikan keadaan tali pancing yang sentiasa ditegangkan itu.
Jika ada getaran pada tali menandakan ikan melanggarnya, joran akan terus disembat sekuatnya. Mata tiga tadi akan mencangkuk di mana-mana bahagian ikan dan terus dihela naik ke darat.
Cara ini dianggap tiada semangat kesukanan atau foul play dan tidak disarankan sama sekali kerana ia berbahaya apabila mata tiga boleh ‘terbang’ melekat ke badan pemancing dan juga ikan boleh cedera parah akibat mata tiga itu apabila ia terlepas.
Seperkara lagi, jika target ikan kap kepala besar untuk betul-betul mengambil umpan akan menjadi lebih sukar jika lombong itu didiami banyak spesies ikan lain kerana umpan yang disajikan akan sentiasa dicuri oleh ikan-ikan ini terlebih dahulu.
Ada potensi
Ikan kap ini boleh dikategorikan sebagai spesies pemalu dan amat culas akan kehadiran manusia di persekitarannya.

Namun, saya masih percaya ikan ini masih boleh dipujuk untuk makan umpan. Persoalannya, di mana lokasi lombong yang bersesuaian dan apa jenis umpan yang terbaik untuk menggodanya?
Kali ini, saya telah mendapat info satu lombong di Kampar, Perak yang dihuni ikan kap kepala besar ini.
Saya bersama rakan-rakan turun mencuba nasib dengan menggunakan enam set pancing seorang bagi menaikkan kadar kebarangkalian untuk mendapatkan ikan itu.
Teknik yang saya cuba ialah pancing dasar dan berpelampung menggunakan joran berkekuatan 10-15 paun dipadankan dengan kekili saiz 2000 dan tali sulam saiz antara 15 hingga 20 paun.
Umpan pula akan dipasang di perambut spring atau dikenali sebagai mata bomb saiz 13 atau 14.

Umpan pilihan ialah gabungan roti putih dan roti wholemeal Gardenia yang digunting empat segi kecil untuk disematkan di mata kail, manakala di spring pula akan dikepal ramuan dedak ayam dicampur dengan dedak merah dan perisa strawberi.
Pada masa yang sama, ada mata kail yang saya sematkan gabus polystyrene bulat warna hijau dan merah supaya mata kail terapung dan memudahkan ia tercangkuk di mulut ikan ketika ia menyedut umpan.
Selain itu, cacing tanah juga digunakan sebagai alternatif jika umpan-umpan lain tidak disentuh.
Lombong Kampar
Lombong ini sentiasa dikunjungi oleh pemancing sekitar. Kami perlu sampai awal pagi jika mahu dapatkan tapak yang terbaik kerana ruang memancing tidak banyak dan terbatas disebabkan keladi bunting memenuhi kawasan tebing.
Ada kawasan yang tidak dibenarkan masuk kerana ada pengusaha menternak itik di tepi lombong tersebut.
Terdapat dua aliran air masuk dari lombong-lombong sebelah menjadikan ikan di sini sentiasa aktif dan berkeadaan bersih.
Ikan seperti tilapia, lampam jawa, lampam ekor merah, tongsan susu, rohu, haruan dan cichlid belang banyak dan mudah dipancing. Tetapi semua spesies tersebut bukan target kami. Kami hanya mahukan ikan kap kepala besar.
Rasuah berupa ramuan dedak yang sama dikepalkan di spring ditabur. Sementara kami mempersiap set pancing masing-masing, sudah kelihatan buih-buih halus menimbul diikuti dengan keladak yang terhasil apabila semakin banyak ikan masuk ke tempat rasuah.
Waktu awal pagi sememangnya merupakan masa keemasan ikan galak makan umpan dan seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Nafsu makan ikan dasar ini biasanya akan sedikit reda apabila matahari terik di atas kepala. Ia akan galak semula pada lewat petang.
Walaupun diganggu spesies ikan-ikan lain, tetapi kami dapat juga menaikkan banyak ikan kap kepala besar yang diidamkan.
Cuma saiz ikan kap tersebut kecil dalam lingkungan satu ke dua kilogram seekor, bukannya berpuluh kilogram seekor seperti yang selalu diperhatikan bermain di tengah-tengah lombong yang besar.
Mungkin pada lain masa, saya akan memperbaiki lagi teknik pancingan atau persembahan umpan untuk mencari ikan kap kepala besar saiz double digit pula.
















