fbpx
Penerima rasuah lebih kerap didakwa dan diseret ke muka pengadilan berbanding pemberi rasuah.

Penerima rasuah dilondeh, pemberi sogokan dilepaskan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mana lebih besar kesalahannya, menerima rasuah atau memberi rasuah? Bagi sebahagian besar daripada kita akan menyatakan, kedua-dua kesalahan itu adalah sama besar dan mereka yang terlibat sama ada yang memberi atau menerima wajar dihukum dengan hukuman yang berat.

Kalau tiada yang memberi, masakan akan ada pihak yang menerima. Atau mungkin juga, kalau tiada yang meminta, maka tiadalah pihak yang akan memberi atau terpaksa memberi.

Yang memberi mahu pihak yang disuap menggunakan kuasa yang ada untuk membolehkan mereka membolot atau memperoleh sesuatu seperti projek dan sebagainya mengikut jalan yang salah, manakala yang menerima pula mahu mendapat habuan daripada sesuatu yang ditawarkan mengikut jalan haram.

Begitulah senario penyakit sosial yang berleluasa dalam masyarakat ketika ini sehingga merosakkan amanah serta kepercayaan rakyat terhadap sesuatu institusi.

Walaupun pihak yang menerima atau memberi kedua-duanya dianggap melakukan kesalahan, namun realitinya penerima rasuah yang biasanya terdiri daripada ‘mereka yang berkuasa’ sering kali dilihat sebagai pengkhianat terhadap amanah yang diberikan kepada mereka.

Kerana itu, penerima rasuah lebih kerap didakwa dan diseret ke muka pengadilan berbanding pemberi rasuah. Pegawai kerajaan, penjawat awam atau individu berjawatan tinggi yang terlibat rasuah pasti akan diseret ke mahkamah.

Sedangkan pihak yang memberi, kelihatannya sering terlepas atau kalau ada yang kena pun sedikit jumlahnya. Mengapa sedemikian sedangkan secara hakikatnya pemberi rasuah inilah yang menjadi pencetus kepada masalah ini dan mereka tidak seharusnya terlepas begitu saja.

‘Melepaskan’ mereka seolah-olah kita merelakan ketidakadilan berlaku. Kalau si penerima mendapat habuan tertentu sama ada dalam bentuk wang ringgit atau harta benda, apa bezanya dengan si pemberi.

Kalau si penerima dilondehkan dek kerana perbuatan keji mereka dengan pendedahan pelbagai aset haram yang dirampas, mengapa pula pihak yang memberi segala aset haram itu tidak dilondeh sama?

Mereka juga turut mengaut keuntungan besar daripada apa-apa projek yang mereka perolehi hasil daripada rasuah yang diberi. Jadi adakah wajar mereka ‘terlepas’ begitu saja?

Kita sedar, ada kes pemberi rasuah dilindungi atas alasan menjadi saksi dan ada pula sukar dibuktikan kesalahannya. Keadaan ini sebenarnya akan menimbulkan persepsi bahawa undang-undang tidak dilaksanakan secara adil.

Selagi pemberi rasuah ini ‘terlepas’, selagi itulah rasuah akan berterusan kerana mereka yang akan terus menyogok golongan-golongan berkuasa yang haloba di atas sana.

Kesimpulannya, memberi dan menerima rasuah sama-sama berdosa dan bersalah. Tidak wajar hukuman hanya dikenakan kepada satu pihak, sedangkan satu pihak lagi ‘terlepas’.

Selagi kedua-duanya tidak diadili secara adil, selagi itulah rasuah akan terus menjadi barah. Kepada mereka yang diberi kuasa pula, hentikanlah menormalisasikan amalan haram ini, beranilah untuk mengatakan tidak kepada rasuah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN