PORT DICKSON – Keindahan Pantai Purnama, di sini, yang sebelum ini indah dengan tarikan laluan titi pelancongan ke pantai kini tidak dapat dimanfaatkan susulan berlaku kerosakan serta runtuhan tebing pantai.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi berkenaan mendapati pantai yang masih belum tercemar dengan air biru kehijauan berkenaan sudah pun dipasang dengan tali penghadang.
Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Affan Hanafi Daud, 20, dari Kuala Pilah, dia sering berkunjung ke pantai berkenaan sejak lebih setahun lalu kerana pantainya yang cantik selain mempunyai laluan titi pelancongan.
“Mula-mula kawasan titi pelancongan di atas pantai sahaja yang ditutup sejak tahun lalu, namun, kini bahagian tepi laluan pun sudah ditutup kerana berlaku runtuhan tebing pantai.
“Keadaan ini berkemungkinan menjadi lebih teruk selepas ribut tropika Senyar kerana air sampai ke tebing pantai,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Bagi seorang lagi pengunjung, Hayati Jamaluddin, 33, berkata. dia datang ke pantai berkenaan bersama anak serta suami dari Kuala Lumpur untuk berkelah sebentar sementara menyambung perjalanan ke Melaka.
“Ini kali kedua kami ke sini. Memang lokasinya tersorok, namun kemudahan parkir serta laluan pelancongannya memang mudah diakses. Jadi Pantai Purnama ini menjadi pilihan kami untuk menikmati keindahan pantai.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Hasnor Abd Hamid ketika dihubungi berkata, buat masa ini pihaknya sudah menutup kawasan tebing runtuh di Pantai Purnama berkenaan.
“Seterusnya kita akan membuat pemantauan bersama jabatan berkaitan serta membuat permohonan peruntukan membaik pulih kerosakan di kawasan pantai tersebut,” katanya.















