Bahagian Pantai Barat Semenanjung dilanda ribut Senyar baru-baru ini yang membawa hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora. Perairan Port Dickson, Negeri Sembilan menerima impak yang kuat sehingga tidak langsung sesuai untuk apa-apa aktiviti menggunakan bot di laut.
Bencana alam ribut Senyar menggusarkan hati kami enam sekawan yang merancang trip jigging ketika cuti Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor yang ke-80 baru-baru ini.
Perjalanan ini diatur bersama Tekong Pak Tam yang jetinya bertempat di Admiral Marina and Leisure Club, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pak Tam merupakan salah seorang tekong yang ternama di sini.
Perjalanan kami seawal pukul 3 pagi dari Kuala Lumpur menuju ke jeti ditemani kilat dan dentuman guruh di langit.
Hujan lebat mulai menyapa kedinginan pagi di sepanjang perjalanan kami menuju ke lokasi.
Kami tiba di jeti pada pukul 7.30 pagi, dan disambut dengan hujan yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti. Terlihat keadaan di jeti itu yang rosak teruk di badai ribut Senyar sebelum ini.
Biarpun dilanda hujan, namun semangat kami tidak pudar. Kami masih percaya hari akan kembali bersinar.

Misi kami masih sama, rindu mendalam kepada perlawanan dengan sang talang yang disebut-sebut sebagai ikon ikan terkenal di sini.
Misi bermula
Pada pukul 9 pagi, hujan mula reda, Pak Tam memberi isyarat ‘jom luncur’. Bingkas kami bangun dan mengangkat peralatan ke dalam botnya, Tam’s Queen Charter. Bot terus bergerak menuju ke lokasi pertama.
Arahan berkenaan teknik pada hari itu diberikan oleh tekong. Kami bermula dengan teknik fast jigging, kemudian sesi kedua (teknik apollo) dan sesi ketiga (pancingan dasar menggunakan umpan sotong).
Tiba di lokasi pertama, kami semua menurunkan jig dengan berat antara 60 hingga 80 gram (g) yang dipadankan dengan assist hook saiz 2/0.
Arus pada pagi itu tidak terlalu kuat kerana trip berlangsung pada bacaan air menyorong kecil.
Selepas dua minit sesi fast jigging berlangsung, terdengar desiran bunyi drag nyaring daripada kekili Banax Lexima Camion kepunyaan Azmi yang baru pertama kali mencuba teknik jigging.
Jig berwarna perak dan keemasan seberat 80g miliknya dibedal rakus oleh seekor ikan talang besar.
Rakan-rakan yang lain sudah mula tidak senang duduk, mana tidaknya apabila melihat ikan menjadi sasaran utama di Port Dickson berjaya didaratkan.
Tidak lama selepas itu, Jump Jig profil berat 90g dari Heartcore Angler yang saya turunkan ditarik keras.
Tidak sempat saya melakukan pitching pada kekili Ryobi Varius GR, terus sahaja jig itu di baham ganas oleh talang dan saya berjaya mendaratkan ikan itu di atas bot.
Bertubi-tubi talang membedal satu demi satu jig yang diturunkan, dan kami berjaya mendapatkan ikan itu sebanyak 21 ekor dalam masa dua jam.
Sesi apollo sagai
Hanyutan bot pada sesi kedua pula dimaklumkan oleh tekong Pak Tam untuk menggunakan apollo. Spesies yang menjadi buruan pada sesi ini adalah ikan sagai.
Kami menggunakan apollo saiz 16 dan batu ladung saiz 10 mengikut keadaan arus pada waktu itu.
Kami tidak pernah memancing ikan ini, jadi sangkaannya mungkin sama teknik dengan memancing apollo untuk ikan cencaru atau selar.
Ternyata sangkaan kami meleset sama sekali kerana untuk ikan sagai, kami perlu longgarkan drag kekili, dan kalau kena, tidak perlu menyentap joran. Apa yang perlu kami buat adalah gulung sahaja tali, itulah nasihat tekong kepada kami.
Memainkan apollo dengan pemberat saiz 10 dan drag yang longgar pada kedalaman 30-40 meter untuk memburu ikan sagai sememangnya amat mencabar serta memenatkan.
Kami semua tidak pernah rasa selelah ini untuk mendapatkan ikan.
Apa yang saya perhatikan, ikan ini duduk dalam satu kumpulan dan mula aktif sekitar pukul 12 tengah hari. Mulut ikan ini sangat lembut dan mudah koyak jika kita mengekangnya terlalu kuat, sebab itulah perlunya drag yang longgar.
Hasil teknik itu, kami berjaya mendaratkan 16 ekor ikan sagai yang bersaiz hidangan dalam anggaran saiz 600g hingga sekilogram seekor. Ikan sagai ini merupakan salah satu spesies trevally yang sedap dimakan.
Sesi ketiga
Beginner’s luck memang satu situasi yang sentiasa wujud dalam mana-mana trip pancingan. Bagi sesi pancingan dasar, Azmi sekali lagi berjaya mendaratkan seekor ikan kaci dalam anggaran dua kilogram. Ia merupakan spesies ikan yang jarang didaratkan di sini.
Senyum lebar dia mengusik rakan-rakan lain selepas mendapat ikan ‘sisik’ yang boleh tahan saiznya.
Kami menggunakan umpan sotong cumi yang dihiris, sebelum diletakkan pada mata kail saiz 2/0 dan 3/0 bagi mencari ikan dasar gred baik seperti jenahak, merah, kerapu dan gerut-gerut.
Ikan merah dan jenahak tidak dapat dikesan pada sesi ini, umpan kami hanya disambut ikan-ikan kecil seperti ikan remong dan lain-lain lagi. Pada sesi ketiga ini, saya sendiri hanya berjaya mendapatkan seekor ikan mentimun.
Hasil pancingan dasar menggunakan umpan tidak begitu mengujakan kerana kami semua kepenatan dibuli sagai sebelum ini. Sesi terakhir ini, kami berjaya mendaratkan 18 ekor ikan dan berakhirlah trip yang memberikan sedikit sinar selepas ribut melanda.














