fbpx
Sebuah van plat pendaftaran Thailand yang terlibat dalam kes kemalangan sehingga mengorbankan seorang gadis di Napoh, Jitra malam kelmarin.

Van Siam memang laju-laju – Penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini mendakwa kerap melihat van dari negara jiran dipandu laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pengerusi Suara Orang Changlun, Mohd. Zaidi Desa berkata, dia yang menunggang motosikal pernah terjatuh atas jalan selepas dihimpit van dari Thailand kira-kira setahun lalu.

“Apa yang membuatkan saya geram, pemandu van tidak berhenti. Nombor plat pula tulisan Thai. Walaupun hanya mengalami calar, namun kejadian seperti itu boleh meragut nyawa saya atau penguna jalan raya lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, kebanyakan van Siam dipandu laju mencecah 140 kilometer (km) per jam sedangkan had kelajuan dibenarkan adalah 90km/j.

Dia tidak menolak kemungkinan ada yang bertindak demikian kerana mahu mengejar trip atau cepat pulang sebelum pintu sempadan di sini ditutup pada pukul 12 tengah malam.

“Amat menyedihkan apabila ada rakyat kita maut dirempuh van Siam yang dipandu laju dan melanggar lampu merah (kelmarin),” ujarnya.

Dakwanya, bilangan van Thailand dilihat makin bertambah sejak Hatyai dilanda bah besar pada hujung tahun lalu dengan ada yang memandu laju dan mengangkat lampu tinggi terhadap kenderaan lain.

Justeru, dia berharap agar pihak berkuasa memantau kehadiran kenderaan negara jiran berikutan ada yang melakukan perjalanan hingga ke Pulau Pinang.

“Jika perkara ini berlaku di Thailand, rakyat kita terpaksa bergolok gadai sampai hampir muflis. Kita harap negara ini pun sama, tindakan tegas harus dikenakan termasuk kepada warga Thailand,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya pernah membangkitkan isu kenderaan Siam sejak tahun 2010.

“Saya sendiri nyaris dilanggar kenderaan Thailand. Kejadian malam tadi (kelmarin) amat menyedihkan, saya harap tragedi seperti itu tidak lagi berulang,” ujarnya.

Beliau mahu penguatkuasaan undang-undang berkaitan van Siam diperketatkan bagi memastikan mereka tidak memandu dengan sewenang-wenangnya di negara ini.

“Ini kerana pengangkutan awam kita tidak boleh masuk Thailand, nak masuk pihak berkuasa mereka sekat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN