fbpx
MALAYSIA memiliki barisan pemain terbaik untuk dipertaruhkan pada kejohanan Piala Thomas tahun ini.

Tidak mustahil kita julang Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAINGAN musim baharu bagi kejohanan badminton Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sudah membuka gelanggang pada aksi Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berakhir Ahad lalu.

Pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu, kita dapat melihat gambaran awal mengenai potensi yang ada pada para pemain Malaysia dalam kesemua acara kecuali perseorangan wanita.

Sudah pasti kita mengharapkan aksi terbaik daripada barisan pemain negara memandangkan banyak kejohanan penting sepanjang 2026, termasuk saingan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Horsens, Denmark April depan.

Jika melihat sejarah, sudah lebih tiga dekad kita kempunan membawa pulang Piala Thomas selepas kali terakhir trofi teragung itu dimenangi pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Bagi merealisasikan hasrat itu, kita memerlukan skuad berpasukan lelaki yang cukup ampuh memandangkan saingan kali ini cukup sukar, terutamanya menerusi kebangkitan pasukan lain.

Situasi ini diakui beberapa kali oleh para pemain negara yang menyifatkan tidak banyak perbezaan antara setiap pasukan, lebih-lebih lagi dalam acara beregu lelaki yang semakin kompetitif.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi turut mengakui beberapa pasukan, terutamanya Indonesia mula membaca corak permainan pemain kebangsaan.

Bagaimanapun, ia bukan satu perkara merisaukan kerana keadaan itu biasa dalam sukan badminton dan penulis yakin barisan kejurulatihan negara memiliki ramuan tersendiri bagi mengatasinya.

“Boleh dikatakan prestasi serta kualiti beregu lelaki ketika ini hampir sama. Beregu dalam kondisi lebih baik pada hari perlawanan ada peluang menang.

“Buat masa ini, hanya beregu Korea Selatan (Kim Won Ho-Seo Seung Jae) yang berada satu tahap lebih tinggi. Oleh itu, kita boleh jadikan mereka sebagai rujukan untuk belajar,” kata pengendali dari Indonesia itu.

Kini, hanya gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat mampu menandingi kehebatan Won Ho-Seung Jae meskipun tewas kepada beregu tersebut pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia Ahad lalu.

Selain beregu, kita juga memerlukan pemain-pemain perseorangan lelaki untuk berada pada prestasi terbaik menjelang saingan Piala Thomas nanti selepas mengambil kira prestasi semasa pemain negara yang agak terumbang-ambing.

Memang benar bekas perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah membuat kemunculan semula, namun dia memerlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik memandangkan sudah lama berehat akibat kecederaan.

Aaron pernah menyuarakan hasrat untuk melihat pemain perseorangan lelaki termasuk Zii Jia, Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong kembali ke prestasi terbaik kerana ia mencerahkan peluang Malaysia mencabar gelaran Piala Thomas.

“Macam saya cakap, peluang itu memang ada dan kita mengharapkan pemain seperti Zii Jia, Jun Hao, Tze Yong dan Justin (Hoh) untuk kembali. Kita memerlukan satu pasukan yang kuat untuk acara berpasukan.

Itu (Zii Jia perseorangan ketiga) memang strategi yang bagus juga kerana dulu kita tengok Lin Dan pernah bermain sebagai perseorangan ketiga. Bagi saya, itu memang satu strategi yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN