fbpx
Longgokan sampah dikesan dalam tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar kawasan Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam. – ISKANDAR ISHAK

Denda RM2,000 pun tak gentar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan tumpuan awam di sekitar ibu kota masih dicemari dengan sampah selepas seminggu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) mula dikuat kuasa.

Walaupun hukuman denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat diperke­nalkan sebagai ‘senjata’ untuk me­nangani isu pembuangan sampah di tempat awam, namun ia masih tidak menakutkan masyarakat.

Tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bukit Bintang, Pasar Seni serta beberapa stesen transit awam semalam mendapati, botol plastik, puntung rokok, sisa makanan dan sampah kecil masih dibuang.

Seorang pelancong tempatan, Amira Zubir, 31, berkata, dia yang mengunjungi Pasar Seni di sini semalam mendapati, tahap kebersihan di kawasan pelancongan popular itu masih belum memuaskan.

“Ada yang bersih, tetapi ada juga sampah sarap seperti bekas makanan ditinggalkan di sekitar kawasan ini.

“Mungkin orang ramai tidak tahu penguatkuasaan peraturan itu telah pun bermula awal tahun ini. Saya sendiri pun tak tahu denda yang dikenakan sehingga RM2,000.

“Bagi saya, denda RM2,000 memang tinggi, kalau setakat RM200 orang boleh pejam mata sahaja,” katanya.

Seorang peniaga, Mujahid Ismail, 57, berkata, tahap kebersihan di lokasi tumpuan pelancong masih belum memuaskan biarpun terdapat pengurangan sampah yang dibuang selepas akta itu dikuat kuasa.

“Pelancong dan warga a­sing pun ramai yang buang sampah sesuka hati. Denda dan perintah khidmat masyarakat ini memang bagus untuk mendisiplinkan rakyat kita dan juga warga asing,” katanya di Pasar Seni.
.

Bekas minuman, makanan dan plastik dibuang di laluan pejalan kaki di Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam.

Seorang penjawat awam, Asyraf Che Razali, 31, berkata, walaupun denda tinggi telah dikenakan, namun masih ada individu berani melanggar peraturan.

“Kuala Lumpur merupakan ibu negara, tahun ini pula Tahun Melawat Malaysia, tetapi sayang masih ada sampah,” katanya.

Peniaga kecil, Noraini Hassan, 42, mendakwa, mentaliti rakyat Malaysia mungkin sudah berubah, tetapi kemungkinan sampah yang ada di ibu kota disebabkan daripada segelintir warga asing.

“Kedai saya terletak di sekitar Petaling Jaya Old Town, di sana paling ramai warga Myanmar dan Bangladesh, kebiasaan mereka akan buang sampah merata-rata.

“Sama sahaja yang kita lihat di sekitar pusat beli-belah di kawasan Pudu. Dekat situ sememangnya kotor kerana lokasi tumpuan ramai,” katanya.

Seorang pelajar universiti, Muhammad Arif, 22, berkata, tindakan menghukum semata-mata tidak mencukupi tanpa perubahan sikap masyarakat.

“Kalau mentaliti buang sampah masih sama, denda se­tinggi mana pun Kuala Lumpur tetap ada sampah. Saya harap isu ibu kota masih tercemar ini perlu diselesaikan segera.

“Kita harap semua rakyat menjaga imej baik Malaysia di mata dunia, selain keamanan dan keselamatan, tahap kebersihan juga penting,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN