fbpx
Fara Umira bertanggungjawab mengendalikan tren monorel di sepanjang jajaran Kuala Lumpur Sentral dan Titiwangsa. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Kenali wanita pertama Malaysia pandu monorel 4 gerabak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Setiap pagi ketika kebanyakan warga kota masih lena dibuai mimpi, seorang wanita berusia 33 tahun sudah pun berada di kokpit tren monorel untuk menggalas amanah membawa ribuan penumpang ke destinasi masing-masing.

Tanggungjawab itu dipikul Fa­ra Umira Abd. Halim dengan statusnya sebagai wanita pertama di Malaysia yang bekerja sebagai pemandu tren monorel empat ge­rabak.

Menurut wanita berasal dari Kuala Lumpur itu, kerjaya sebagai pemandu tren monorel kebia­saannya sinonim dengan kaum lelaki, namun dia tetap cekal meneroka bidang tersebut sejak tahun 2018.

“Cabaran utama di peringkat awal apabila saya menjadi satu-satunya pekerja wanita dalam unit pemanduan berbanding 40 staf lelaki yang lain,” katanya.

Bercerita lanjut, Fara Umira berkata, semuanya bermula selepas dia ternampak iklan jawatan kosong di Facebook mengenai pengambilan pegawai stesen dan pegawai transit di Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada tahun 2018.

“Tanpa berfikir panjang saya terus memohon sebab ingatkan kerja bahagian pentadbiran. Kemudian saya dipanggil untuk temu duga dan ketika itulah saya tahu jawatan sebenar yang dimohon. Tidak lama selepas itu, saya diterima bekerja dan perasaan ketika itu sangat terkejut.

“Ini adalah tanggungjawab yang besar dan saya perlu bekerja­ bersama 40 pemandu lelaki.

“Namun, saya buat keputusan untuk mencabar diri dengan menerima tawaran berkenaan dan menjalani latihan beberapa bulan sebelum mula bertugas,” katanya kepada Kosmo!.

Fara Umira sedang berbincang sesuatu dengan Pegawai Unit Komunikasi Rel Prasarana, Shahrul Asyraf Sapri sebelum memulakan tugas di kokpit.

Fara Umira berkata, dia kini bertanggungjawab mengendalikan tren monorel manual sepenuhnya di sepanjang jajaran Kuala Lumpur Sentral dan Titiwangsa yang merangkumi 11 stesen.

Selain berdepan cabaran teknikal, Fara Umira mengakui turut berdepan pandangan sinis segelintir masyarakat yang mempersoalkan kebolehan wanita dalam kerjaya berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sokongan keluarga dan suami menguatkan semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun terpaksa berdepan dengan jadual mengikut syif seawal 4.30 pagi.

“Saya tidak pernah terfikir akan mengendalikan tren monorel ini. Banyak yang perlu saya korbankan dari segi masa dan tenaga walaupun saya seorang wanita.

“Begitu juga wanita di luar sana, jangan hadkan kemam­puan diri kerana tiada yang mustahil selagi kita berani melangkah,” pesannya.

Mengenai cabaran sepanjang perkhidmatan, Fara Umira bersyukur kerana belum pernah berdepan dengan sebarang situa­si kecemasan.

Apa yang penting katanya adalah memberikan fokus kepada pemanduan, selain perlu memastikan kesihatan diri dan mental dalam keadaan yang baik sebelum mula bertugas.

“Saya bersyukur perjalanan kerjaya saya sangat baik dan tiada sebarang insiden buruk yang berlaku sama ada melibatkan faktor cuaca atau kemalangan.

“Cabaran sebenar ialah apabila bertugas pada waktu puncak yang mana kadar bilangan pengguna lebih tinggi dari kebiasaan seperti di Stesen Bukit Bintang,” kongsinya.

Selepas enam tahun ‘menguasai’ kokpit tren monorel, Fara Umira berkata, rasa tanggungjawab memastikan keselamatan ribuan penumpang setiap hari tidak pernah pudar.

Ibu kepada seorang anak berusia lima tahun itu berkata, atas amanah itu dia sentiasa memastikan dirinya mendapat rehat yang cukup supaya fokus ketika bekerja.

“Sokongan rakan sekerja dan latihan berterusan syarikat termasuk simulasi kecemasan menjadikan saya lebih yakin dan berkemahiran.

“Itu semua sangat diperlukan kerana amanah membawa penumpang setiap hari adalah tanggungjawab besar yang tidak mengenal jantina, selain me­nuntut disiplin, keberanian dan fokus tinggi terutamanya ketika waktu puncak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN