fbpx
Pesalah jalan raya kini berdepan realiti baharu iaitu tiada lagi diskaun saman lalu lintas bermusim. - GAMBAR HIASAN

‘Anda buat, anda tanggung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2026 boleh dianggap sebagai tahun transformasi disiplin sosial di Malaysia. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu bagi mendidik rakyat bahawa setiap perbuatan membawa akibat dengan tiada kompromi dan rundingan.

Antara langkah yang dilaksanakan pada tahun ini termasuklah mengenakan denda maksimum sehingga RM2,000 dan hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam terhadap kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

Dalam masa sama, pesalah jalan raya turut berdepan dengan realiti baharu iaitu tiada lagi diskaun saman lalu lintas bermusim, sebaliknya prinsip ‘lebih cepat bayar, lebih rendah jumlah bayaran’ diperkenalkan bagi memberikan keadilan kepada pesalah yang membayar lebih awal.

Justeru, pesalah menyedari kesan nyata tindakan mereka terhadap komuniti secara keseluruhannya.

Pendekatan tersebut selari dengan prinsip psikologi bahawa perubahan tingkah laku dengan manusia hanya akan berhasil apabila kesedaran, penguatkuasaan dan konsistensi digabungkan.

Hukuman tanpa pendidikan menimbulkan penentangan dan pendidikan tanpa penguatkuasaan pula jarang bertahan lama. Maka, keseimbangan dalam pembentukan disiplin sosial yang berkesan dan mampan akan wujud.

Persoalan utama adalah sejauh mana rakyat Malaysia bersedia mengubah normalisasi perilaku buruk yang sekian lama diterima sebagai kebiasaan?

Menurut Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, undang-undang tegas dan konsisten menjadikan kesalahan-kesalahan tersebut tidak lagi remeh.

Katanya, displin perlu menjadi budaya dalam kalangan rakyat negara ini yang merangkumi semua aspek kehidupan seharian dan bukan terhad kepada satu-satu isu sahaja.

“Apabila undang-undang dilaksanakan secara tegas, adil dan konsisten, norma lama akan mula terhakis dan digantikan dengan budaya baharu yang lebih berdisplin. Inilah yang membentuk masyarakat yang progresif,” tegasnya,

Bagaimanapun, beliau menekankan tujuan utama penguatkuasaan bukan sekadar menghukum, sebaliknya membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Akhirnya, kita mahu masyarakat mematuhi undang-undang, bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana kesedaran diri sendiri.

“Pendidikan dan kesedaran awam perlu diperkukuhkan dan bergerak seiring bagi memastikan perubahan tingkah laku yang berkekalan khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, peranan tekanan sosial dan contoh teladan di ruang awam juga sebenarnya adalah pemangkin kepada kejayaan ini.

“Apabila pematuhan undang-undang menjadi kebiasaan majoriti, individu yang ingkar akan berasa terasing dan terdorong untuk menyesuaikan diri,” kata beliau.

Secara kesimpulannya, mesej yang ingin disampaikan amat jelas bahawa setiap perbuatan membawa akibat dan setiap pilihan menuntut tanggungjawab.

Prinsip ‘anda buat, anda tanggung’ bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada pembinaan disiplin sosial yang berkesan dan berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN