SHAH ALAM – Ibu bapa yang sengaja cuai membiarkan anak terdedah risiko keselamatan dengan menaiki pengangkutan tidak berlesen atau selamat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000.
Peguam Khairul Naim Rafidi berkata, penggunaan van dan bas sekolah tidak berdaftar serta beroperasi tanpa kelulusan merupakan kesalahan serius melibatkan keselamatan, kebajikan dan kepentingan kanak-kanak.
Katanya, ibu bapa atau penjaga mempunyai tanggungjawab asas untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka, termasuk dalam urusan pengangkutan pergi dan balik ke sekolah.
“Tanggungjawab ini bukan sekadar bersifat moral, tetapi juga mempunyai implikasi perundangan sekiranya berlaku kecuaian.
“Prinsip ini selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, undang-undang tidak boleh diaplikasikan secara pukul rata dengan setiap kes perlu dinilai secara teliti berdasarkan keadaan sebenar, termasuk tahap pengetahuan ibu bapa, niat, pilihan munasabah yang tersedia serta sama ada risiko tersebut diketahui mereka.
“Pendekatan perundangan dalam perkara melibatkan kanak-kanak hendaklah sentiasa berpaksikan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak sebagaimana digariskan mengikut Seksyen 17 akta yang sama.
“Ia bukan semata-mata bertujuan menghukum ibu bapa tanpa mengambil kira realiti sosial, ekonomi dan kekangan logistik yang dihadapi oleh sesetengah keluarga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khairul Naim berkata, negara maju seperti United Kingdom dan Singapura, pengangkutan sekolah dikawal selia secara ketat melalui pelesenan, pemeriksaan berkala dan latihan pemandu, sekali gus meletakkan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan dasar.
“Justeru, penyelesaian isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan terhadap pengendali haram, pemudahan pematuhan pengusaha kecil, kerjasama antara sekolah, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan serta kempen kesedaran kepada ibu bapa mengenai risiko dan tanggungjawab undang-undang,” katanya.















