fbpx
PERKAHWINAN itu bukan tentang mencari pasangan sempurna, sebaliknya bagaimana dua insan saling melengkapi kelemahan masing-masing. - GAMBAR HIASAN

Orang bujang usah terpengaruh kisah curang media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELANGKAH masuk 2026, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah rumah tangga yang tular media sosial.

Kisah ‘penyondol’ bagaikan sudah menjadi isu biasa, diburukkan lagi dengan kes suami melanggan pelacur, ‘isteri bersuami dua’ dan skandal suami orang. Lambakan cerita negatif rumah tangga bukan sahaja membuatkan suami isteri perlu lebih berhati-hati, malah menyebabkan golongan bujang semakin takut untuk mendirikan rumah tangga.

Hal ini kerana pendedahan berterusan episod mimpi buruk rumah tangga akan menyebabkan mereka mempunyai stigma negatif terhadap institusi perkahwinan seperti ‘semua lelaki sama’, ‘suami curang’ atau ‘isteri suka menghabiskan duit suami’.

Kebelakangan ini, kita lihat lebih ramai memilih untuk berkahwin lewat atas faktor ekonomi, fokus terhadap kerjaya, perubahan gaya hidup dan terbaharu, takut komitmen.

Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Ke­sejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, negara berdepan masalah penuaan penduduk, penurunan kadar kelahiran dan melemahkan sistem sokongan kekeluargaan.

“Pengaruh kandungan media sosial yang sering memaparkan perkahwinan secara negatif juga boleh menyebabkan pasangan muda tidak bersedia dari segi emosi sehingga boleh menyumbang kepada berlakunya konflik perhubungan dan perceraian.

“Ketakutan terhadap komitmen yang sah seperti undang-undang perkahwinan turut mendorong sebahagian memilih hubungan tanpa ikatan dan meningkatan hubungan tidak sah (seks bebas) yang akhirnya menjejaskan maruah, kesihatan dan kestabilan sosial,” katanya.

Selain itu, stigma negatif mengenai perkahwinan juga akan mewujudkan sikap paranoid berlebihan terhadap pasangan seterusnya menjejaskan keharmonian rumah tangga.

“Individu yang paranoid sukar mempercayai orang walaupun sudah dibuat semakan, sering menyamaratakan seperti ‘semua lelaki begitu’ atau ‘semua pasangan akan mengkhianati’ dan lebih dipengaruhi emosi berbanding akal. Sebaliknya, penilaian pasangan sebaiknya dibuat secara objektif dengan melihat nilai teras seperti agama, amanah, tanggungjawab, cara berkomunikasi dan pengurusan emosi,” jelasnya.

Justeru, bagi yang memiliki pasangan, tetapi takut untuk berkahwin disebabkan kisah-kisah di media sosial, perkara paling penting adalah menenangkan emosi sebelum membuat keputusan.

Jauhkan diri seketika dari laman sosial yang banyak ‘menjaja’ kisah rumah tangga orang supaya ia tidak mempengaruhi emosi dan fikiran kita. Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah melakukan solat istikharah agar diberi petunjuk dan keyakinan serta selebihnya, berserah pada Yang Esa.

Perkahwinan itu bukan tentang mencari pasangan sempurna, sebaliknya bagaimana dua insan saling melengkapi kelemahan masing-masing dengan hal yang mendamaikan.

Tiada bumi tidak ditimpa hujan, sesekali banjir mungkin melanda. Namun, jika tanah kuat menghadapi segala bencana, gempa mega sekali pun tidak mampu meruntuhkan ‘istana’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN