SEGAMAT – Sesi persekolahan 2026 yang akan bermula pada minggu hadapan menuntut golongan ibu bapa menyediakan bajet kewangan yang tinggi sehingga memaksa mereka menjual barang kemas.
Peniaga emas terpakai Che Tat Gold, Muhamad Noriman Haikal Mohd. Nazri, 25, berkata, terdapat segelintir ibu bapa datang ke premisnya untuk menjual emas bagi menampung perbelanjaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.
“Mereka membawa barang kemas untuk dijual bagi mendapatkan wang tunai ketika cuti sekolah baru-baru ini. Ada (pelanggan) yang beritahu mereka terpaksa melepaskan barang kemas masing-masing kerana memerlukan wang untuk persediaan dan pendaftaran anak sekolah.
“Ada juga yang beritahu mereka menjual emas sebab mahu membawa anak-anak bercuti sempena cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di Taman Yayasan di sini semalam.
Menurut lelaki itu, barang kemas yang dijual kebanyakan pelanggannya bermula dengan berat 5 hingga 20 gram seorang.
Cerita Muhamad Noriman, dia memulakan perniagaan jual beli emas terpakai sejak 2020 berdasarkan pengalaman peribadi menyimpan emas dan melihat keperluan masyarakat kepada aset yang stabil ketika ekonomi tidak menentu.
“Saya tertarik untuk menyimpan emas kerana nilainya tidak pernah susut dan amat membantu dalam keadaan terdesak. Sebut emas, kita semua tahu nilainya sentiasa naik dari semasa ke semasa. Bukan sahaja emas perhiasan, malah dinar dan syiling emas juga tidak susut nilainya,” katanya.
Nilai belian emas 999 ialah RM625 segram, manakala 916 pula RM594. Kadar jualan balik bagi gred 999 sebanyak RM558 dan 916 (RM505). Dia menjangkakan nilai emas akan naik mencecah kadar RM700 segram dalam beberapa bulan akan datang.
Pembelian emas kini tidak terhad kepada golongan wanita sahaja kerana lelaki turut membeli logam berharga itu dalam bentuk jongkong atau dinar sebagai aset simpanan yang bernilai tinggi.














