fbpx
SMK Krubong yang menjuarai pertandingan TM Tech Titans Peringkat Kebangsaan 2025 menerusi inovasi bot yang boleh mengutip sampah di darat dan air membuktikan sekolah luar bandar juga boleh cemerlang dalam STEM.

Inovasi ‘bot amfibia’ julang SMK Krubong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SORAKAN kegembiraan bergema di Multimedia University (MMU) Cyberjaya apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, Melaka dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan TM Tech Titans Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Kejayaan yang dicapai pada pertandingan itu sekali gus mencatat sejarah manis buat sekolah berkenaan.

Untuk makluman, pertandingan TM Tech Titans ialah inisiatif atau program oleh Telekom Malaysia (TM) yang bertujuan membangunkan bakat teknologi tempatan, menggalakkan inovasi digital dan kepimpinan teknologi serta menghubungkan profesional teknologi dengan ekosistem TM seperti cloud, data, AI, teknologi komunikasi dan solusi digital.

Seramai 90 pelajar dan 30 orang guru menyertai pertandingan berprestij melibatkan sekolah-sekolah menengah itu.

Selain SMK Krubong, antara sekolah lain yang menjadi finalis TM Tech Titans 2025 termasuk SMK Muadzam Jaya, Pahang; SMK Panchor, Negeri Sembilan; SMK Suria Perdana, Johor; SMA Maahad Al Mizan, Perak, SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor dan SMK Tinggi St. David, Melaka.

Menerusi nama pasukan KRUSS MAKERS, SMK Krubong tampil berani dengan projek Amphibious Boat, sebuah bot inovatif mesra alam yang mampu bergerak di darat dan air bagi mengutip sisa pepejal di permukaan.

Idea yang praktikal serta impak yang jelas terhadap kelestarian alam menjadikan projek KRUSS MAKERS menonjol dalam kalangan peserta lain.

Keunikan reka cipta tersebut melayakkan pasukan itu meraih Anugerah Platinum, selain membawa pulang hadiah selaku juara iaitu wang tunai berjumlah RM5,000.

Berkongsi dengan K-Remaja, salah seorang ahli KRUSS MAKERS, Nur Ain Izzati Mat Nasir, 15, berkata minat yang tinggi terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mendorong penyertaannya dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu.

“Kami menyertai pertandingan ini kerana minat dalam STEM, selain mahu lakukan sesuatu melibatkan isu pencemaran sungai.

“Justeru, menerusi projek ini, kami gabungkan teknologi dengan masalah alam sekitar dan lahirlah idea Amphibious Boat sebagai inovasi kecil yang boleh membantu komuniti,” katanya.

Pelbagai sekolah dari seluruh negara bersaing dalam Pertandingan TM Tech Titans Peringkat Kebangsaan 2025 di MMU, Cyberjaya baru-baru ini.

Tambah Nur Ain Izzati, projek itu datang dengan cabaran tersendiri dan paling besar adalah untuk memastikan bot seimbang dan boleh bergerak lancar sama ada di permukaan air dan juga permukaan darat.

SEMENTARA itu, kata Nur Ain Izzati, untuk menggabungkan sensor, kamera dan papan elektronik pintar ESP32 dalam satu sistem juga adalah rumit.

“Kami kena banyak membuat trial and error untuk dapatkan kawalan yang stabil,” katanya.

Rakan sepasukan Nur Ain Izzati, Qaisara Eryna Muhammad Zaid, 15, berkongsi, bagi penghasilan bot ini, mereka juga perlu bijak memilih komponen yang sesuai dan memastikan sistem elektronik yang dihasilkan tahan terhadap percikan air.

“Biarpun berdepan cabaran seperti kerosakan prototaip semasa hasilkan bot ini, namun apa yang saya boleh kongsikan adalah penyertaan kami telah mengajar kami tentang asas pengaturcaraan, pendawaian robotik, kerja tangan dalam pembinaan struktur serta kemahiran kerjasama dan komunikasi,” katanya.

KRUSS MAKERS dianggotai tiga pelajar. Bagi seorang lagi ahlinya, Nurfikriah Qaisara Mohd. Faiz, 15, penyertaan dalam TM Tech Titans 2025 mengajarnya banyak perkara terutamanya melibatkan kemahiran kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

“Buat yang mempunyai minat dalam projek STEM atau inovasi mesra alam, nasihat saya adalah jangan takut untuk mencuba.

“Mulakan dengan idea yang kecil dan belajar sedikit demi sedikit. Projek STEM memang mencabar, namun amat menyeronokkan apabila kita nampak hasilnya,” ujarnya.

Kejayaan tersebut bukan sekadar kemenangan pertandingan, malah menjadi simbol keupayaan pelajar sekolah menengah untuk menghasilkan inovasi bermakna berteraskan teknologi.

Tambah pula, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pelajar SMK Krubong bukan sahaja menunjukkan semangat yang tinggi, bahkan turut membuktikan kemampuan sekolah luar bandar di sebuah negeri yang kecil di peringkat kebangsaan.

Bagi Mentor robotik pasukan SMK Krubong, Nathan Balakhrisnan kemenangan itu membuktikan bahawa dengan semangat kerja berpasukan dan sokongan padu, batasan boleh diatasi dan kecemerlangan mampu digapai.

Nathan menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil usaha gigih dan komitmen tinggi para pelajar yang tidak mudah berputus asa.

“Pelajar-pelajar ini membuktikan bahawa dengan kerja berpasukan dan semangat yang kental, segala cabaran boleh diubah menjadi kejayaan,” katanya.

Selain johan kebangsaan bagi TM Tech Titans, KRUSS MAKERS di bawah pimpinan Nathan juga sudah beberapa kali mencipta nama di peringkat kebangsaan menerusi pelbagai pertandingan seperti Asia Youth Championship 2025 (gangsa), TM Tech Titans-Future Innovators 2024 (Anugerah Emas) dan Pertandingan Techlympic Peringkat Kebangsaan 2023 (johan).

Sementara itu, Pengetua SMK Krubong, Ruslinda Rasul menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kemampuan pelajar sekolahnya untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan bahawa latar belakang sekolah bukan penghalang untuk melakar kecemerlangan dalam bidang inovasi dan teknologi.

“Ia menjadi inspirasi bukan sahaja kepada sekolah, malah kepada seluruh komuniti pendidikan Melaka. Sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi bukti bahawa sekolah luar bandar juga mampu melakar nama di persada negara melalui inovasi dan teknologi,” katanya.

Dengan berpegang kepada semangat ‘Cerdas, Ceria, Cemerlang’, SMK Krubong dilihat sebagai ikon pendidikan inovatif di negeri Melaka.

Kejayaan ini diharap dapat menyemarakkan inspirasi kepada generasi muda untuk terus berani mencipta, berinovasi dan melangkah lebih jauh dalam dunia teknologi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN