Tahun 2026 hadir dengan susunan kalendar yang sangat ‘cantik’, membuatkan ramai ibu bapa, murid sekolah termasuk golongan pekerja senyum lebar.
Susunan cuti umum yang mesra hujung minggu, ditambah pula dengan cuti sekolah yang panjang menjadikan 2026 sebagai tahun paling ideal untuk bercuti dan melakukan sesuatu yang positif.
Maka tidak hairan ramai mula merancang lebih awal, sama ada untuk pulang ke kampung, bercuti di luar negara ataupun, melangsungkan ikatan perkahwinan.
Melihatkan kepada takwim persekolahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2026, kalendar cuti persekolahan panjang akan bermula seawal Februari ini selama sembilan hari pada 14 Februari hingga 22 Februari bersempena Tahun Baharu Cina.
Sebulan kemudian iaitu pada Mac, murid sekolah akan menikmati cuti Penggal 1 selama sembilan hari bermula 21 Mac hingga 29 Mac. Pada Mei pula, KPM memperuntukkan Cuti Pertengahan
Tahun selama 16 hari bermula 23 Mei hingga 7 Jun kepada semua sekolah, sesuatu yang sangat-sangat dinantikan rakyat Malaysia.
Seperti tradisinya, cuti-cuti persekolahan ini diteruskan untuk Cuti Penggal 2 (9 hari) pada Ogos dan September serta Cuti Akhir Persekolahan pada Disember selama 27 hari.
Sesuatu yang menarik, semua cuti-cuti ini adalah cuti wajib yang dikhususkan dalam takwim persekolahan, dan ia tidak termasuk cuti khas, cuti tambahan dan cuti bagi perayaan atau sambutan tertentu.
Sebagai contoh, beberapa cuti umum pada 2026 termasuklah cuti Hari Wilayah dan Thaipusam yang jatuh pada hari Ahad iaitu 1 Februari, Hari Pekerja pada 1 Mei yang jatuh pada hari Jumaat dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang jatuh pada hari Isnin.
Deretan senarai cuti ini membuatkan golongan pekerja terutamanya di sektor swasta menarik nafas lega, sekurang-kurangnya membolehkan mereka menambah koleksi percutian dan aktiviti tahunan.
Namun, di sebalik limpahan cuti pada tahun ini, wajar diingat bahawa cuti bukan lesen untuk alpa atau melarikan diri sepenuhnya daripada tanggungjawab.
Ia sepatutnya menjadi ruang menilai semula kehidupan yang sering terperangkap dalam rutin. Cuti memberi peluang memperbaiki hubungan keluarga yang renggang, menenangkan fikiran yang sarat tekanan dan memulihkan semangat kerja yang semakin pudar.
Dalam erti kata lain, cuti yang baik ialah cuti yang membuat kita kembali bekerja dengan lebih waras.
Dari sudut ekonomi, tahun penuh cuti juga membawa implikasi tersendiri. Sektor pelancongan domestik dijangka kembali meriah, pengusaha inap desa, peniaga kecil dan industri makanan pasti menarik nafas lega.
Bagi majikan, mereka perlu lebih kreatif mengurus produktiviti agar cuti yang banyak tidak menjadi alasan kepada kemerosotan prestasi. Keseimbangan antara rehat dan tanggungjawab harus diurus dengan baik, kerana perniagaan tetap perlu bergerak walau kalendar 2026 terlalu baik hati.
Akhirnya, tahun 2026 yang sarat cuti ini harus dilihat sebagai peluang, bukan perangkap. Peluang untuk menjadi manusia yang lebih seimbang dan pekerja yang lebih produktif dan masyarakat yang lebih menghargai masa.














