KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang belum dikenal pasti identiti ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari Jambatan Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu, Jalan Ipoh di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.25 pagi tadi.
Menurut beliau, ketika kejadian, pengadu yang sedang bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang individu terjun ke dalam sungai berhampiran jambatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa seorang wanita dan terjun dari Jambatan Masjid Abu Hurairah ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat di lokasi terakhir mangsa dilihat, iaitu di kawasan pusaran air deras.
“Usaha pencarian mengambil masa berikutan keadaan lokasi yang berisiko tinggi,” katanya.
Menurutnya, kira-kira pukul 2 petang, pasukan bomba memaklumkan mangsa telah ditemukan di Sungai Jalan Murai, Taman Million, di sini, dalam keadaan berada di tengah sungai di kawasan air cetek.
“Mangsa kemudian ditarik ke tepi sungai dan diangkat ke tebing oleh pasukan bomba,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE














