PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya komited untuk memperkukuh infrastruktur negara dan keselamatan jalan raya pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan membuka lembaran tahun baharu, pihaknya akan meningkatkan mutu perkhidmatan kementerian itu demi kesejahteraan rakyat.
“Tahun baharu membuka lembaran baharu untuk kita terus memperkukuh infrastruktur negara dan keselamatan jalan raya.
“Kementerian Kerja Raya akan kekal komited meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat,” tulisnya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya juga akan manfaatkan aplikasi MyJalan sebagai medium penyampaian maklum balas.
Katanya, langkah itu untuk memastikan agar setiap isu jalan raya dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.
Pada masa sama, beliau juga berterima kasih atas usaha, komitmen dan sokongan untuk memastikan infrastruktur jalan yang lebih selamat.
Sekali gus katanya, ia dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara sepanjang tahun 2025.
“Dengan semangat Malaysia Madani, langkah diteruskan ke tahun baharu dengan komitmen yang lebih padu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














