fbpx
BISSOLI ketika ini beraksi bersama Buriram dan memiliki kontrak sehingga 2028 bersama gergasi Thailand itu. - AFP

Bintang Buriram dikait sertai JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) didakwa semakin hampir untuk ‘memancing’’ khidmat pemain import yang dilabel terbaik di rantau Asia Tenggara, Guilherme Bissoli pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan dibuka pada 5 Januari depan.

Spekulasi semakin bertiup kencang selepas pemain antarabangsa Brazil berusia 28 tahun itu memuat naik gambar percutian di Kuala Lumpur bagi meraikan cuti Krismas baru-baru ini di laman Instagram peribadinya.

Malah, Bissoli turut mengikuti JDT di laman sosialnya selain beberapa individu penting termasuk pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan pemain utama seperti Bergson da Silva serta Arif Aiman Hanapi selain ejen yang rapat dengan JDT, Kiko Insa.

Ini bukanlah kali pertama Bissoli dikaitkan dengan perpindahan ke JDT kerana sebelum dia berkelana ke Buriram, pengurusan Harimau Selatan didakwa cukup berminat, tetapi tidak mampu menawarkan kontrak kerana gajinya yang terlalu mahal.

Berdasarkan laman transfermrket.com, Bissoli memiliki tanda harga sebanyak €2 juta (RM4.7 juta) tetapi masih memiliki kontrak bersama skuad gergasi Liga Thailand itu sehingga musim 2028.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor telah memberikan khabar gembira ketika sesi soal jawab bersama penyokong bulan lalu dengan mengesahkan kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad kendalian Xisco Munoz nanti.

“Buat masa ini, kita memang sudah ada tiga pemain sedia datang ke JDT. Saya tak nak gantikan dengan sesiapa, saya nak tambah.Saya akan keluarkan satu atau dua pemain selepas itu,” kata Tunku Mahkota Ismail.

JDT yang gah memimpin carta Liga Super ketika ini dijadual bertemu dengan seteru, Selangor FC pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya, Ahad nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN