fbpx
KERAJAAN meneruskan pemberian Sara kepada 22 juta rakyat yang layak pada bulan hadapan.

Agenda besar jadi tumpuan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bermula pada 1 Januari, pelbagai inisiatif melibatkan program dan peraturan baharu dilaksanakan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan hala tuju ekonomi negara.

Pelarasan gaji fasa kedua penjawat awam, larangan pendaftaran akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, kempen saman ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ dan denda sehingga RM2,000 terhadap individu pengotor antara yang dikuatkuasakan tahun ini.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka tirai awal tahun ini dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 40 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan pelancongan RM150 bilion.

Bagi tujuan itu, promosi secara agresif dilakukan di peringkat antarabangsa, penganjuran acara kebudayaan dan sukan, selain pe­nambahbaikan kemudahan pe­lancongan di destinasi utama serta kawasan luar bandar.

Bagi sektor perkhidmatan awam, kira-kira 1.6 juta penjawat awam bakal menerima gaji baharu bagi fasa kedua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melibatkan semua skim perkhidmatan.

Langkah itu dijangka meningkatkan kuasa beli dan memberi kesan limpahan positif kepada perniagaan tempatan dan pertumbuhan ekonomi domestik.

Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup, kerajaan menyalurkan tambahan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 kepada penerima berusia 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari yang akan memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia.

Sumbangan itu diberikan khusus untuk rakyat sebagai perse­diaan menyambut Ramadan dan Tahun Baharu Cina.


BERMULA tahun ini, kerajaan memperkenalkan kempen ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ untuk memberikan keadilan kepada mereka yang menjelaskan saman lalu lintas lebih awal.

Dalam aspek keselamatan ­digital, kerajaan menguatkuasakan peraturan baharu yang melarang kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun mendaftar akaun media sosial.

Peraturan itu bertujuan melindungi kesejahteraan mental dan keselamatan kanak-kanak, selain mewajibkan platform digital melaksanakan sistem pengesahan umur yang lebih ketat termasuk penggunaan kaedah pengesahan identiti (eKYC).

Usaha memperkukuh per­khidmatan digital kerajaan turut diteruskan menerusi perluasan penggunaan MyDigital ID bagi urusan rasmi, di samping pembangunan Kiosk Madani di semua negeri.

Kementerian Pendidikan (KPM) pula mengumumkan murid tidak lagi diwajibkan memakai tali leher ke sekolah mulai tahun ini sekali gus mengurangkan perbelanjaan isi keluarga.

Bagi mendidik masyarakat agar bertanggungjawab terhadap persekitaran, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengenakan kompaun sehingga RM2,000 dan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam terhadap mana-mana individu yang membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar ibu negara.

Langkah itu dibuat bagi mengekang sikap buruk rakyat tempatan dan pelancong yang sering membuang sampah kecil seperti puntung rokok dan botol minuman di tempat awam, selain meludah di kawasan pejalan kaki yang bukan sahaja mengotorkan tempat, tetapi turut mencemarkan imej Malaysia.

Tahun ini juga menyaksikan kerajaan menggantikan pemberian diskaun saman berasaskan program atau kempen khas de­ngan prinsip baharu ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ bermula pada 1 Januari.

Langkah tersebut diperkenalkan selepas kerajaan mendapati kaedah pemberian diskaun sebelum ini tidak adil kepada individu yang bertanggungjawab menjelaskan saman lebih awal.

Berdasarkan struktur baharu itu, pengurangan sebanyak 50 peratus diberikan bagi pembayaran dalam tempoh satu hingga 15 hari, 33 peratus bagi 16 hingga 30 hari, manakala kadar maksimum dikenakan bagi 31 hingga 60 hari.

Bagi tempoh melebihi 61 hari, tindakan mahkamah atau senarai hitam akan dikenakan.

Selain itu, kerajaan turut me­ngumumkan pengenalan cukai karbon bermula tahun ini bagi sektor tertentu sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong pembangunan mampan.

Dalam sektor pendidikan tinggi, seramai 5,800 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menikmati kemudahan pendidikan percuma sepenuh­nya bermula tahun ini.

Inisiatif itu memfokuskan pelajar daripada keluarga miskin dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,705 khususnya dalam bidang pengajian kritikal dan berkeperluan tinggi negara.

Selain itu, graduan IPTA bagi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dikecualikan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 6,000 peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM90 juta setahun.

Dari sudut kebajikan pekerja dan pencarum, had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi ibadah haji ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.

Golongan pencarum juga dibenarkan menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan.

Pekerja gig, e-hailing dan p-hailing pula akan menikmati insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus pada tahun ini.

Tahun ini turut menyaksikan pembinaan Sambungan Kabel Dasar Laut Madani sepanjang 3,190 kilometer untuk menjamin ketersambungan internet serta penghantaran data berkapasiti tinggi di seluruh negara.

Dalam lanskap politik pula, tahun 2026 bakal menyaksikan penggal pentadbiran kerajaan negeri Me­laka akan berakhir pada Disember dan berkemungkinan Pilihan Raya Negeri diadakan pada tahun ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN