NILAI – Siapa sangka di sebalik namanya yang agak menakutkan dan pelik, Roti Pocong sebenarnya mempunyai peminat sendiri terutama ketika berlangsungnya karnival makanan atau bulan Ramadan.
Menu istimewa itu hasil sentuhan bekas cef, Muhammad Firdaus Kamaruddin, 40 yang membina perniagaan berasaskan minat, kesungguhan dan kreativiti sejak tahun 2019.
Firdaus berkata, idea asal tercetus daripada murtabak, sebelum diolah menjadi roti berinti dengan konsep lebih moden dan berbeza.
“Kami tidak jual setiap hari. Biarlah orang rasa teruja, tunggu setahun sekali. Sebab itu Roti Pocong hanya dijual ketika bulan puasa atau acara tertentu seperti NS Fest,” katanya ketika ditemui di Karnival NS Fest di Dataran Nilai di sini semalam.
Katanya, usaha itu mula membuahkan hasil apabila Roti Pocong tular sejak 2021 selama tiga tahun berturut-turut, sekali gus menjadikan gerai mereka antara yang paling dicari pengunjung.
“Alhamdulillah, hari keempat jualan, sekurang-kurangnya 300 biji terjual sehari dengan kapasiti pengeluaran mencecah 700 biji,” katanya yang turut dibantu isterinya, Raja Norhazlynn Abd Khalil Saferi.
Keistimewaan Roti Pocong terletak pada inti ayam dan daging berperisa smoked BBQ, digabungkan bersama telur, kulit roti rangup serta keju bakar cair yang dihasilkan menggunakan resipi sendiri.
Dengan terdapat lebih enam variasi termasuk Pocong Beranak Lemak dengan mozzarella cheese dan sos keju buatan sendiri, menu ini dijual bermula dari RM10 hingga RM20.














