PASIR PUTEH – Pertandingan memancing bukan sahaja menguji kesabaran tetapi membuatkan orang ramai menghargai alam sekitar melalui hobi yang mendatangkan rezeki berganda.
Penganjur memancing tali air di Mak Mayong di sini, Azhar Taib, 52, berkata, pertandingan diadakan setiap Jumaat sejak Jun 2022 itu sering menjadi tumpuan ribuan kaki pancing ikan keli.
“Idea tercetus ketika saya dan dua rakan membersihkan tali air milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu sepanjang lebih 100 meter itu. Pertandingan pernah menawarkan hadiah paling tinggi iaitu RM25,000.
“Pada mulanya kami kenakan yuran RM15 dengan hadiah RM1,000 dan ia terus meningkat selepas mendapat penyertaan di luar jangka. Kami pernah tawarkan hadiah RM25,000 dengan yuran RM85 setiap joran,” katanya.
Menurut Azhar, pemancing bukan sahaja dari Kelantan, malah datang dari Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.
Tambahnya, pertandingan itu turut membuka peluang ekonomi buat penduduk sekitar untuk berniaga minuman, makanan dan cenderamata.
Di Shah Alam, Pengurus Kolam Pancing Seksyen 24, Muhammad Zulkhairy Chai Chi On berkata, pemberian ganjaran wang merupakan strategi bagi menarik lebih ramai pemancing ke pusat tersebut.
Jelasnya, ganjaran ditawarkan secara harian, mingguan, bulanan dan juga menerusi konsep ‘pecah tabung’ yang diperkenalkannya sejak lima
tahun lalu.
“Bagi memenangi hadiah pecah tabung, pemancing perlu mendaratkan ikan spesifikasi tertentu, iaitu ikan mekong melebihi 49 kilogram (kg) atau ikan patin seberat lebih 22 kg.
“Jumlah wang terkumpul untuk dua kategori pecah tabung ini kini melebihi RM43,000. Jika ada pemancing berjaya mendaratkan ikan tersebut, kami akan bayar tunai pada hari yang sama,” katanya. -KOSMO! ONLINE














