fbpx
Memorial tsunami dibangunkan dengan susunan bot nelayan yang rosak di Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda dekat Sungai Petani.

21 tahun berlalu, tsunami masih ‘menghantui’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Walaupun sudah 21 tahun bencana tsunami melanda Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di sini, namun kejadian pada pukul 1.15 tengah hari, 26 Disember 2004 masih sukar dipadam daripada ingatan.

Tambahan pula dengan kejadian terbaru di Aceh akibat ­Taufan Senyar pada 22 November lalu kembali membuatkan ingatan terhadap tragedi tsunami itu kembali segar.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, melihat kejadian di Aceh kembali membuatkan mereka terkenang kesukaran dan usaha menyelamatkan diri pada hari kejadian iaitu hari Ahad, 21 tahun yang lalu.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Zainol, 74, berkata, pagi hari kejadian tsunami, dia ber­ada di rumah seorang penduduk berdekatan simpang tiga di kampung mereka membantu kerja-kerja memasak untuk majlis kenduri kahwin.

“Cuaca cerah pagi itu dan sebaik selesai kerja-kerja memasak lauk kenduri, tiba-tiba air laut mula dilihat bergerak laju dari pantai menuju ke kampung kami.

“Melihat ombak itu agak luar biasa saya kemudian berlari pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi rumah kenduri untuk memastikan tiga anak berumur antara 6, 8 dan 9 tahun selamat,” katanya.

Menurut bekas pemandu lori itu, sebaik menghampiri kawasan rumah dia melihat anak lelakinya Mohd. Nazir, 6, sedang berdiri di tepi jalan melihat gulungan ombak sedang menuju ke rumah mereka.

“Saya memekik memanggil namanya dan dalam masa sama berlari mendapatkannya sebelum membawanya pulang ke rumah dan dalam masa sama ombak setinggi paras dada mula membadai menyebabkan kami dua beranak basah.

“Sampai di rumah saya panggil dua lagi anak dan isteri Fuziah Yahaya sambil mengarahkan mereka ikut saya berlari ke belakang rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

“Hanya beberapa minit selepas ombak pertama, ombak kali kedua sampai paras bumbung menyebabkan saya terdampar sampai ke pokok nipah belakang rumah.

“Ketika itu saya hampir lemas kerana tidak boleh bernafas ke­rana ombak itu turut membawa lumpur,” katanya.

Jelas Abdul Wahab, kesan ombak besar kali kedua itu menyebabkan peralatan rumah habis rosak tetapi nasib baik kami lima beranak selamat.

Sementara itu, anaknya, Mohd. Nazir yang kini berumur 27 tahun berkata, dia tidak menyangka tindakan pantas bapanya ­berjaya menyelamatkan dan keluar ­daripada ambang maut akibat digulung ombak tsunami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN