fbpx
GAMBAR HIASAN

Akhirnya BAP ada tarikh, kena beli buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANDA tanya bila agaknya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 akhirnya sudah terjawab.

Kementerian Pendidikan (KPM) akhirnya meredakan keresahan ibu bapa apabila mengumumkan bermula 11 Januari depan tarikh pemberian bantuan itu.

Jika sebelum ini disalurkan sebelum cuti sekolah bagi memudahkan ibu bapa membeli kelengkapan awal persekolahan tetapi kali ini pada hari pembukaan sesi baharu sekolah.

Jadi ibu bapa semua apabila sudah ada tarikh ini, baju sekolah anak silalah guna duit sendiri dahulu dan tidak menunggu BAP.

Istimewanya tahun ini kerana pembukaan sesi persekolahan baharu kembali kepada Januari selepas dipinda kepada Mac ketika pandemik Covid-19.

BAP itu nanti kita boleh gunakan untuk membeli buku aktiviti dan buku tulis kerana senarai yang perlu dibeli sudah dikeluarkan oleh pihak sekolah.

Jika dihitungkan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh ibu bapa bagi seorang anak adalah sekitar RM100 bagi sekolah rendah dan RM150 bagi sekolah menengah.

Agak ‘keras’ senarai harga buku yang dikeluarkan itu, bayangkan jika anda mempunyai tiga anak yang masih bersekolah sekali gus. Itu belum lagi kelengkapan lain seperti alat tulis dan pembalut buku.

Jadi sedang eloklah duit BAP itu disediakan untuk membeli buku aktiviti dan buku tulis dan duit bantuan itu tidak terpesong ke kedai lain.

Bulan depan juga merupakan bulan yang agak mencabar juga bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai kerana yuran pengangkutan van sekolah tetap perlu dibayar penuh walaupun sesi persekolahan dibuka 11 dan 12 Januari 2026.

Bulan Disember juga perlu bayar penuh walaupun pelajar sekolah menengah hanya ke sekolah hanya dua hari disebabkan memberi laluan kepada pelajar tingkatan lima menduduki peperiksaan.

Awal tahun depan kita sebagai ibu bapa perlu hitunglah segala perbelanjaan anak ke sekolah selain berkira-kira untuk baju raya juga.

Di media sosial sudah ramai promosi baju raya dengan tagline ‘beli awal supaya tidak kalut’.

Gunalah duit bantuan persekolahan anak dengan bijak dan untuk perkara yang sepatutnya, jadi ibu bapa yang amanah dengan rezeki tambahan yang diberikan oleh kerajaan itu.

Selesaikan perkara wajib persekolahan baharu lah fikir perkara untuk puasa dan beraya pula.

Jika tidak berkemampuan, hiduplah dengan seadanya tanpa perlu meminjam dan meminta untuk nampak sentiasa cantik di mata orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN