BERGELAR pelajar sains dan pada masa sama aktif dalam dunia protokol mungkin kelihatan seperti dua dunia yang berbeza.
Namun, bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Sel dan Molekul (Dengan Kepujian), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Amilesny Perumal, kedua-duanya merupakan ruang penting yang membentuk jati diri, keyakinan dan profesionalisme dirinya hari ini.
Amilesny, 22, yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan dibesarkan di Johor, memulakan perjalanan akademiknya dengan mengikuti Diploma Perikanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sebelum meneruskan pengajian di FBSB.
Minat terhadap biologi sudah mekar sejak kecil, dipacu kejayaan kakaknya yang merupakan graduan Biologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penerima Anugerah Dekan.
“Kejayaan kakak mendorong saya untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang biologi dan bioteknologi,” katanya memulakan bicara bersama K-Kampus.
Bagi Amilesny, penglibatan pelajar dalam kokurikulum bukan sekadar pengisian masa lapang tetapi wahana penting membentuk ‘soft skills’ dan personaliti kepimpinan.
“Kokurikulum membentuk kemahiran yang tak boleh dipelajari dalam kelas sahaja.
“Di sinilah kita belajar komunikasi, etika kerja, kepimpinan dan profesionalisme,” ujarnya.
Amilesny merupakan ahli aktif Persatuan Ratna Sari di bawah Hal Ehwal Pelajar UPM, sebuah kelab yang menumpukan kepada penyambut tetamu, pegawai pengiring, penyelaras protokol dan pembantu majlis.
Melalui platform tersebut, dia mengasah kemahiran protokol, etiket penampilan, kawalan majlis serta komunikasi formal.
“Walaupun saya dalam bidang sains, namun kemahiran protokol memberi kelebihan besar.
“Ia membantu saya tampil profesional ketika membentang kajian, berkomunikasi dengan penyelidik atau menghadiri seminar,” katanya.
Amilesny turut mengakui pengalaman bapanya sebagai pengurus bankuet membuka matanya terhadap dunia pengurusan acara sebenar sejak kecil.
Minat mendalamnya terhadap penganjuran program bermula ketika dia mengikuti kursus kokurikulum berkredit di UPMS, buat pertama kali dia diberi kepercayaan sebagai pengarah program.
“Daripada tidak tahu apa-apa, saya mula jatuh cinta dengan dunia penganjuran program.
“Segala pengalaman dan insan-insan di universiti ini membentuk siapa saya hari ini.
“Mereka memberi ruang untuk saya belajar, gagal dan bangkit semula,” ujarnya seraya menzahirkan penghargaan kepada para mentor di UPMS dan UPM yang membentuk keyakinannya.
Menggalas komitmen akademik dalam bidang biologi yang menuntut tugasan di makmal serta laporan saintifik sambil aktif dalam protokol bukan sesuatu yang mudah.
Namun, Amilesny percaya pengurusan masa menjadi benteng utama.
“Latihan protokol dan majlis rasmi selalu bertembung dengan jadual kuliah.
“Untuk kekal produktif, saya buat perancangan mingguan, siapkan tugasan lebih awal dan kurangkan gangguan telefon semasa belajar,” tuturnya.
Dia percaya keseimbangan bukan soal membahagi masa sama rata tetapi memberi fokus sewajarnya kepada setiap keutamaan.
Meskipun sibuk, Amilesny tetap meluangkan masa untuk aktiviti yang mengekalkan keseimbangan mental.
“Saya suka mendengar audio siar (podcast) inspirasi, ‘cafe hunting’, menari sebagai terapi kreatif dan sesekali membuat siaran langsung di TikTok untuk membina keyakinan diri,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Amilesny mengakui perjalanan universitinya bukan selalunya senang, namun setiap cabaran menguatkan tekadnya untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang dilakukan.
“Ada hari memang rasa penat dan hilang arah tetapi saya percaya setiap pengalaman sedang membentuk saya menjadi lebih matang.
“Kita tidak pernah keseorangan dan teruslah berdisiplin, positif dan berani merebut peluang. Kita sebenarnya lebih hebat daripada apa yang kita bayangkan,” noktahnya.














