Fenomena produk viral kini menjadi tular di platform e-dagang seperti Facebook, Instagram, TikTok Shop dan Shopee sekali gus membuka peluang besar kepada usahawan khususnya peniaga daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Namun, di sebalik populariti itu, wujud risiko besar sekiranya peniaga gagal mendaftarkan hak harta intelek (IP) mereka.
Wartawan Kosmo! Ahad, Nur Alwani Zafirah Khairul menemu bual Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff di pejabatnya di Menara MyIPO, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan berkenaan kepentingan pendaftaran dan perlindungan jenama serta karya kreatif sebelum mengejar keuntungan produk.
KOSMO! AHAD: Berdasarkan pemerhatian MyIPO, sejauh mana fenomena produk viral di platform e-dagang memberi risiko kepada peniaga kecil dan sederhana yang tidak mendaftarkan harta intelek mereka?
YUSNIEZA SYARMILA: Fenomena produk viral memberi impak positif kepada peniaga, terutama dari segi peningkatan jualan secara mendadak.
Namun, fenomena inilah yang membuka ruang risiko paling besar apabila sesuatu produk menjadi trending, pihak lain akan cepat meniru rekaan, nama jenama, gaya pembungkusan malah video pemasaran dalam masa singkat.
Tanpa pendaftaran IP, peniaga asal tidak dapat membuktikan pemilikan apabila cuba mengambil tindakan undang-undang. Bagi PKS, kehilangan momentum dan keaslian produk ini memberi kesan besar kepada daya saing mereka.
Apakah kesan paling serius sekiranya jenama atau produk peniaga ditiru tanpa perlindungan?
Kesan paling serius ialah kehilangan hak eksklusif ke atas jenama atau reka bentuk sendiri. Dalam beberapa kes, peniru bertindak lebih pantas dan mendaftarkan cap dagangan terlebih dulu.
Pemilik asal terpaksa menghentikan penggunaan nama sendiri walaupun telah melabur masa dan wang. Selain itu, reputasi jenama akan terjejas apabila produk tiruan berkualiti rendah memasuki pasaran.
Pelanggan mungkin mengaitkan kualiti rendah itu dengan jenama asal, mengurangkan keyakinan pelanggan dan pelabur. Tanpa perlindungan formal, tindakan segera seperti menghentikan penjualan tiruan sukar dilakukan, menyebabkan kerugian jualan dalam skala besar.
Mengapa masih ramai peniaga gagal mendaftarkan harta intelek walaupun menyedari risiko?
Salah satu sebab utama ialah persepsi bahawa pendaftaran IP rumit dan hanya relevan untuk syarikat besar. Persepsi ini sudah ketinggalan zaman kerana MyIPO telah memodenkan proses melalui platform digital yang mesra pengguna.
Selain itu, ramai peniaga mengutamakan pemasaran dan operasi harian berbanding perlindungan jenama kerana tidak melihat kesan jangka panjang dan hakikatnya, harta intelek adalah aset paling bernilai dalam perniagaan.
Ada juga peniaga yang tidak menyedari bahawa gambar, video, copywriting dan rekaan label boleh dilindungi melalui IP. Cabaran sebenar ialah mengubah mindset peniaga untuk melihat IP bukan sebagai kos, tetapi sebagai pelaburan strategik.

Apakah jenis hak harta intelek yang paling relevan untuk peniaga produk viral?
Terdapat tiga bentuk perlindungan penting, pertama merujuk kepada hak cipta iaitu melindungi kandungan visual dan kreatif seperti foto produk, video promosi, reka bentuk label dan bahan pemasaran. Kandungan inilah yang kerap digunakan semula oleh peniru.
Kedua, cap dagangan. Melindungi identiti jenama termasuk nama, logo dan slogan kerana tanpa cap dagangan, jenama boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan sedikit modifikasi.
Ketiga, reka bentuk perindustrian iaitu melindungi rupa fizikal atau bentuk produk yang unik daripada ditiru.
MyIPO menyediakan laluan digital untuk pendaftaran IP supaya peniaga boleh melaksanakannya dengan mudah dan mengurangkan risiko ditiru.
Bagaimanakah MyIPO mendidik peniaga tentang kepentingan mendaftar hak cipta, paten dan cap dagangan?
Kami mengambil pendekatan menyeluruh, bukan hanya melalui seminar, tetapi jug platform digital. Siri webinar, program outreach bersama platform e-dagang, dan perkongsian ilmu secara langsung diadakan di seluruh negara.
Selain itu, kami menyediakan bahan pendidikan seperti infografik, video pendek, panduan langkah demi langkah serta sesi penerangan bersama persatuan PKS, bertujuan menjadikan pendaftaran hak cipta dan cap dagangan sebahagian daripada strategi perniagaan untuk bertahan lama.
Apakah langkah asas yang boleh diambil peniaga untuk melindungi jenama atau produk mereka?
Langkah paling asas ialah mendaftarkan elemen utama perniagaan sebagai harta intelek seawal mungkin. Cap dagangan adalah paling kritikal kerana ia menjadi identiti utama perniagaan.
Untuk reka bentuk produk atau pembungkusan unik, pendaftaran reka bentuk perindustrian memberi perlindungan tambahan dan bagi kandungan kreatif seperti gambar, video atau ilustrasi, hak cipta berlaku secara automatik, tetapi peniaga perlu menyimpan rekod bukti penghasilan.

Apa itu Copyright Voluntary Notification (CVN) dan mengapa ia penting walaupun hak cipta dilindungi secara automatik?
CVN membolehkan pencipta mendaftarkan karya mereka secara rasmi di MyIPO. Walaupun hak cipta wujud secara automatik, CVN memberikan rekod dokumentasi rasmi yang berguna jika berlaku pertikaian.
Ia juga membantu membina rekod profesional, memperkukuh keyakinan pencipta dan memastikan karya diiktiraf secara sah.
Boleh jelaskan sistem CVN dalam talian dan manfaatnya?
Bermula 2 Disember lalu, sistem CVN sepenuhnya dalam talian membolehkan pemohon mengemukakan dokumen, mengesahkan karya, mengurus pembayaran dan menerima sijil pemberitahuan hak cipta secara segera selepas selesainya prosedur pengisian maklumat.
Proses ini lebih pantas dan boleh diakses dari mana-mana lokasi, sekali gus dapat mengurangkan kos, masa serta memudahkan pemantauan permohonan secara digital.
Apa mesej utama MyIPO kepada rakyat dan penggiat industri kreatif?
Semua pencipta digalakkan menggunakan platform CVN dalam talian ini bagi memastikan karya mereka mendapat pengiktirafan rasmi dan mempunyai rekod sah.
Langkah ini sejajar dengan visi MyIPO menyediakan perkhidmatan awam mesra pengguna, berorientasikan digital dan berimpak tinggi, sambil menyokong pembangunan industri kreatif Malaysia secara profesional dan mampan.














