SERAMAI 132 pemain golf daripada sektor kerajaan dan swasta menyertai kejohanan golf amal di Kota Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Albukhary Foundation dan Selangor Football Club (SFC) turut diserikan oleh Raja Muda Selangor, merangkap penaung diraja SAY, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama The King’s Trust International, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah naungan Seri Paduka Baginda Raja Charles III yang berdedikasi untuk mengubah kehidupan belia Malaysia yang berisiko.
Penganjuran tersebut merupakan edisi ketiga bagi inisiatif pengumpulan dana yang berfokuskan kepada satu tujuan utama iaitu TEAM Programme Malaysia (Program TEAM).
Dalam titah ucapan, baginda berkongsi pengalaman menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst dan menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang paling membentuk kehidupannya.
“Beta belajar bahawa ketabahan bukan tentang menjadi yang paling gagah atau kuat tetapi tentang terus melangkah walaupun tubuh letih, cuaca mencabar dan setiap langkah terasa lebih berat.
“Dan apabila beta bertemu dengan para belia dalam Program TEAM, beta melihat nyala semangat yang sama. Jiwa yang sama.
“Namun, perjuangan mereka bermula lebih awal dan jauh lebih mencabar dengan melalui dugaan hidup sebenar, trauma, pengabaian dan dipinggirkan terlalu awal,” kata baginda.
Sejak lima tahun kebelakangan ini, Program TEAM telah memberi impak kepada lebih 500 belia, termasuk pesalah muda, belia keluar jagaan, belia NEET (Not in Education, Employment, or Training), serta mereka yang bergelut dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

Program tersebut turut menyediakan fasa sokongan lanjutan selama enam bulan untuk memastikan belia terus menerima bimbingan dan dorongan dalam perjalanan mereka ke arah kehidupan yang lebih positif.
Bagi tahun 2025, Program TEAM telah memberi impak kepada hampir 181 orang belia, masing-masing berasal dari latar pelbagai latar belakang dan menghadapi cabaran tersendiri.
Antaranya ialah seorang pemuda bernama Muhammad Syafie yang mula terjebak dengan dadah semasa di sekolah, namun memilih untuk mengubah haluan hidupnya.
Sepanjang menjalani pemulihan di Pusat Penagihan Pemulihan Narkotik (Puspen) dan melalui Program TEAM, dia menemui kembali minat dalam bidang perkhidmatan gunting rambut. Pada usia 22 tahun, beliau bebas daripada dadah dan membina kerjaya sebagai tukang gunting bergerak di rumah.
Seorang lagi peserta yang mahu dikenali sebagai Syafiq, bergelut dengan ketagihan sejak usia 15 tahun dan menamatkan rawatan pada usia 36 tahun.
Dengan sokongan Program TEAM, Syafiq membina semula kepercayaan bersama keluarga, memperoleh kestabilan dalam hidup dan kini berkhidmat sebagai fasilitator dan jurulatih pemulihan bertauliah.
Program tersebut menyasarkan untuk membantu lebih 150 hingga 200 orang belia berisiko pada tahun hadapan.
Dalam titah yang sama, baginda memaklumkan bahawa melalui sumbangan kolektif daripada semua pihak yang terlibat, sejumlah RM1.2 juta berjaya dikumpul pada 2025.
“Sejajar dengan semangat ketelusan dan impak bersama, beta juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa satu laporan menyeluruh akan disediakan dan diterbitkan.
“Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemurahan hati hadirin sekalian menyertai hari istimewa ini,” katanya.
Untuk rekod, tempat pertama dalam kejohanan golf amal tersebut disandang oleh Mohd. Salim daripada Konsortium Jaringan Selangor, manakala tempat kedua diraih oleh Dr. Muaz daripada Selgate.
Tempat ketiga dimenangi oleh Syed Isnizam Syed Ismail daripada Cahaya Hartanah Ventures. Bagi kategori longest drive pula, pemenangnya ialah Izhar Moslim.
Secara keseluruhan, pasukan pemenang ialah Konsortium Jaringan Selangor yang terdiri daripada Mohd. Salim, Shamshul Bahari Ahmad, Datuk Norhamidi Abdul Rahman dan Arfiq Farid Mohd. Hasim.
















