KEBELAKANGAN ini apabila melayari media sosial, tidak susah untuk jumpa komen-komen pedas, kecaman melampau dan nada menyalahkan mana-mana individu yang terlibat dalam sesuatu kejadian.
Tidak kiralah sama ada melibatkan isu kemiskinan, bencana alam atau konflik rumah tangga, simpati yang sepatutnya diberikan sering bertukar menjadi kecaman di ruang maya.
Sebagai contoh, baru-baru ini Kosmo! melaporkan mengenai seorang bapa kepada kanak-kanak penghidap Biliary Atresia iaitu penyakit hati dan saluran hempedu memaklumkan ada pihak mempertikaikan tindakannya untuk membuat permohonan mendapatkan bantuan bagi kelangsungan hidup anaknya, Nur Asyura Medina yang baru berusia 2 tahun 4 bulan.
Bagi sesetengah pihak, kata-kata di media sosial mungkin dianggap sekadar komen, namun bagi individu yang sedang berdepan tekanan hidup itu, ia boleh menjadi beban emosi yang jauh lebih berat daripada musibah itu sendiri.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar, iaitu adakah masyarakat kita kini semakin hilang empati?
Menurut Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, dalam erti kata mudah, empati ialah keupayaan meletakkan diri kita di tempat orang lain.
Orang yang ada empati biasanya lebih berhati-hati dalam bercakap dan bertindak kerana mereka sedar kesannya terhadap perasaan pihak lain.
Namun beliau berkata, dalam realiti hari ini, empati tidak semestinya hilang, cuma mungkin berubah bentuk.
“Pengaruh media sosial yang terlalu pantas dan terbuka menyebabkan masyarakat kini lebih berwaspada kerana bukan semua kisah sedih yang tular adalah benar, dan bukan semua permintaan bantuan datang daripada mangsa sebenar.
“Empati yang dimiliki oleh masyarakat kadang-kadang disalahgunakan oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab hingga akhirnya pihak yang seharusnya dibantu tidak menerima pertolongan itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Justeru katanya, masyarakat dilihat semakin dingin dan skeptikal, namun hakikatnya ia lebih kepada langkah berjaga-jaga, bukannya kerana tiada belas ihsan.
“Keadaan ini berisiko membawa kepada fenomena breakdown, iaitu apabila orang yang sering berbuat baik akhirnya memilih untuk berhenti membantu kerana kebaikan mereka kerap disalahgunakan.
“Jika trend ini berterusan, masyarakat mungkin menjadi semakin pasif dan tidak peduli, walaupun terhadap kes yang benar-benar sahih,” katanya.
Justeru katanya, membina semula budaya empati tidak boleh bergantung kepada emosi semata-mata.
“Literasi digital juga penting agar orang ramai tidak mudah terperangkap dengan eksploitasi emosi di alam maya.
“Justeru itu, empati tidak harus dimatikan, tetapi perlu diiringi dengan kebijaksanaan dan sistem sokongan yang berfungsi,” katanya.














