SEBUAH percubaan segar dalam dunia kulinari tempatan kini hadir di pusat beli-belah MyTOWN, Kuala Lumpur menerusi pembukaan Apricot by Peaches and Cream (Apricot), sebuah kafe baharu yang menampilkan sajian Eropah dalam suasana bak sebuah kafe di kota-kota Eropah.
Diasaskan oleh Cef Victor Yap, kafe itu mengetengahkan pendekatan santai tetapi penuh karakter dengan tumpuan pada rasa, keselesaan dan pengalaman.
Berkongsi dengan CitaRasa, Yap berkata, idea menubuhkan Apricot timbul susulan kejayaan restoran Peaches and Cream Brasserie di Ampang yang menyajikan juadah Eropah penuh menyelerakan.
“Apricot adalah versi kafe bagi sebuah lagi restoran saya iaitu Peaches and Cream Brasserie yang terletak di Ampang.
“Di sini, kami menyajikan hidangan Eropah halal dengan harga yang lebih berpatutan menjadikan lebih sesuai buat pengunjung daripada pelbagai latar belakang yang datang ke pusat beli-belah MyTOWN.
“Biarpun ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan, namun menu, kualiti dan juga rasa hidangannya tiada beza,” katanya yang kini sedang dalam proses mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Untuk kelainan, buat pertama kalinya, Apricot memperkenalkan pizzeria ciptaan sendiri diikuti seleksi hidangan istimewa yang dirangka untuk memberikan keselesaan dan keseronokan kepada setiap pengunjung.
Antara tarikan menu yang ditawarkan termasuk chicken nduja pasta yang menggunakan sosej ayam halal buatan sendiri dengan rasa yang kaya dan memikat, selain piza pencuci mulut iaitu speculoos yang merupakan roti piza yang disajikan bersama biscoff kunafa dan jem berperisa beri campuran.
Tumpuan utama di Apricot, bagaimanapun, terarah kepada dessert tree iaitu satu pusat daya tarikan yang menggabungkan keindahan persembahan dan keterujaan.
Ia membolehkan tetamu memilih pencuci mulut terus daripada susunan artistik yang disediakan di pintu masuk kafe, sebelum disempurnakan dengan kastard pekat yang dituangkan di meja, menjadikan pencuci mulut sebagai sebuah persembahan, bukan sekadar hidangan.
Jelas Yap, sos kastad pekat itu akan dituang pada setiap sajian pencuci mulut, menjadikan sebagai sos signatur mereka.

“Apricot merupakan interpretasi saya tentang sebuah kafe Eropah yang sebenar, tempat hidangan enak menghadirkan rasa gembira secara semula jadi.
“Sama ada anda pertama kali mencuba cita rasa Eropah atau mencari sesuatu yang pernah dirasai, setiap hidangan dihasilkan untuk memuaskan selera,” katanya.
Buat pengunjung kali pertama, Yap mencadangkan mereka untuk mencuba chicken nduja pasta kerana ia merupakan satu juadah dari selatan Itali yang dibawakan khas ke ibu kota.
“Rasa juadah itu adalah cukup sama dengan apa yang saya pernah cuba di Eropah.
“Selain itu, saya mengesyorkan pengunjung untuk mencuba oxtail casserole, satu lagi juadah signatur kami yang mana dagingnya mempunyai tekstur cukup lembut.
“Apabila dihidangkan bersama kuah dan kentang lenyek, ia adalah ultimate comfort food yang cukup menyelerakan,” katanya.
Apricot by Peaches and Cream dibuka setiap hari daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.














