fbpx
Kesan banjir besar menyebabkan sebuah lori tangki terangkat ke atas treler di Aceh Tamiang, Sumatera.

‘Mereka kalau diberi duit pun, akan minta makanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Indonesia termasuk Suma­tera Barat pada 27 November lalu tidak hanya memusnahkan harta benda dan mengorbankan ba­nyak nyawa, malah turut mening­galkan kesan mendalam kepada penduduk yang terselamat.

Selain lumpur tebal, timbunan kayu besar serta laluan yang rosak, penduduk juga kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan keperluan asas termasuk air bersih dan makanan.

Sukarelawan Mercy Malaysia yang sedang berada di Aceh Tamiang Sumatera, Norazam Ab Samah berkata, kemusnahan di daerah tersebut boleh diibaratkan sama seperti impak tsunami yang melanda daerah itu pada tahun 2004.

Beliau yang juga Penasihat Khas Mercy Malaysia berkata, kemusnahan sangat dahsyat sehingga separuh daripada 216 kampung di daerah tersebut tidak boleh diakses walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Pada tahun 2004, saya juga datang sebagai salah seorang sukarelawan di Aceh iaitu tiga hari selepas tragedi tsunami. Tahun ini saya kembali dan apa saya boleh kata impak kemusnahan itu sama seperti tahun 2004.

“Dari segi jumlah, seramai 300,000 penduduk yang terkesan, 12 kacamatan (mukim) semua terkesan teruk, manakala separuh daripada 216 kampung tidak boleh diakses.

“Yang lain harus menggunakan sampan atau berjalan kaki. Lumpur sangat tebal, kayu-kayu balak juga sangat besar. Jadi akses bantuan sangat terhad,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad kelmarin.

Norazam (baju hitam) ketika beramah mesra bersama penduduk Aceh Tamiang.

Norazam berkata, bekalan elek­trik yang masih belum dibaik pulih juga memaksa penduduk bergelap pada waktu malam, selain jaringan komunikasi yang terhad khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, ketika ini kebanyakan masyarakat amat memerlukan bantuan makanan serta air bersih untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Buat masa sekarang, di Aceh Tamiang memang ‘total damage’. Maka kedai-kedai runcit pun tiada. Mereka ini kalau diberi duit pun, akan minta diberi makanan. Sebab kalau ada duit pun tidak boleh nak beli apa-apa,” ujarnya.

Sementara itu, Norazam yang tiba bersama enam lagi sukarelawan dari Mercy Malaysia pada 4 Disember lalu berkata, pihaknya akan mengusahakan lagi beberapa program bantuan berdasarkan tinjauan yang dilakukan.

“Pihak kami akan menyusun strategi untuk mengagihkan makanan, air bersih dan alat kebersihan. Bantuan juga akan di­salurkan secara berperingkat ke hospital dan fasiliti umum yang lain.

“Kami jangka untuk meneruskan misi ini sekurang-kurangnya sebulan bagi memastikan adanya bantuan berterusan untuk fasa pemulihan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN