PETALING JAYA – “Kalau kita nak bagi sesuatu kepada orang, berilah apa yang paling kita sayang…”
Itu kata-kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh apabila dengan rela hati menyerahkan wang simpanan berjumlah RM120,000 untuk menunaikan haji bagi membantu kanak-kanak, Medina yang memerlukan rawatan pemindahan hati segera di China.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Dr. Muhamad Akmal dilihat tenang berbual dengan ibu bapa Medina yang memaklumkan dokumen kelulusan rawatan sudah siap, namun kos rawatan masih belum mencukupi.
Beliau berkata, beliau reda sekiranya belum ‘dipanggil’ ke Tanah Suci kerana berpandangan menyelamatkan nyawa adalah lebih penting dan ia adalah rezeki kanak-kanak tersebut.
“Duit tak banyak, tapi ada lah saya simpan. Rancang tahun ini dapat pergi haji berdua dengan orang rumah (isteri). Dalam simpanan memang betul ‘ngam-ngam’ (mencukupi) RM120,000. Memang ada pakej RM60,000 paling murah. Jadi berdua itu, genaplah RM120,000.
“Mungkin Allah tak panggil saya lagi, duit ini memang untuk Medina kot. Esok, awak beritahu (pihak berkenaan), kita dah ada duit RM120,000 jadi (awak ada) RM60,000, sekarang kita ada RM180,000. Kita nak buat secepat mungkin,” katanya.
Perkongsiannya itu meraih perhatian orang ramai yang rata-rata memuji tindakan dan pengorbanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut selain turut mendoakan kesejahteraan beliau serta keluarga.
“Nanti Adik Medina masuk syurga, tarik Uncle (pak cik) Akmal dan isteri sekali okey. Saya menjadi saksi kebaikan yang Uncle Akmal telah buat hari ini,” ujar @One1.
“Saya menjadi saksi atas kebaikan Dr. Akmal. Semoga Allah memberkati hidup YB (Yang Berhormat) sekeluarga,” komen @Echammdnoor.
“Ya Allah, baiknya hati Dr. Akmal dan isteri. Walaupun kita berlainan parti, saya suka dan sokong perjuangan Dr. serta isteri. Insya-Allah, syurga buat Dr. Akmal dan zaujah Dr.,” ucap @Ameerulsobri. – KOSMO! ONLINE
@drakmalsaleh Jika kita nak beri sesuatu pada orang,berilah apa yang paling kita sayang Rezeki medina Allah gerakkan saya kumpulkan duit dlm beberapa tahun ni ingatkan untuk gi haji tetapi sebenarnya untuk kos rawatan medina rupanya Moga Medina dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik seperti anak-anak yang lain #drakmalsaleh ♬ original sound – Dr akmalsaleh














